BUKAN UNTUK AMAR (Bab 3)

Be-Yourself-No-Matter-What

Kelas dibatalkan. Semuanya gembira apabila membaca notis yang terpampang di Fakulti Kejuruteraan. Ada juga yang mengeluh dan bengang melihat notis tersebut. Mana tidaknya mereka penat lelah berjalan kaki dari kediaman mereka ke fakulti itu tetapi ternyata kelas dibatalkan. Sia-sia sahaja datang. Ruang legar mula bising dengan suara pelajar-pelajar di sekitarnya. Masing-masing sibuk merancang untuk ke pusat membeli belah demi mengisi masa yang terluang itu.

Dalam suasana hiruk-pikuk itu, muncul sekujur tubuh lelaki berbaju kemeja bermotifkan geometrik menuju ke fakulti itu. Potongan baju bersaiz M itu menyerlahkan bentuk badannya yang tegap. Walaupun badannya tidaklah terlalu berotot tetapi sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja suka melihat potongan badannya. Rambutnya yang disisir rapi membuatkan dia kelihatan sangat segak dan bergaya.

Notis itu dibaca. Lelaki itu mengeluh melihat notis yang memaklumkan kelas pada hari itu dibatalkan. Sepatutnya dia perlu membentangkan suatu topik pada sesi kuliah pada hari tersebut. Penat dia membuat persiapan bahan serta maklumat tambahan sepanjang malam seorang diri. Akhirnya kelas terpaksa ditunda. Belum sempat lelaki itu beredar, bahunya dipegang oleh seseorang. Seseorang yang amat dia kenal.

“Bro apa plan hari ni? Jalan-jalan dekat KLCC nak?” soal lelaki bernama Iqram itu.

“Sorry lah bro, aku nak rehat lah hari ni. Penat sangat.” jawab lelaki itu.

“Ya lah kau kan dah penat prepare pembentangan hari ni. Ok lah kau pergi rehat. Nak order apa-apa tak.”

“Tak ada. Oklah aku gerak dulu. Kirim salam dekat kawan kita yang lain.”

“Ok.”

Lelaki itu beredar meninggalkan sahabatnya itu. Iqram sedar akan perubahan yang berlaku pada sahabatnya itu. Sebelum ini sahabatnya itu lebih peramah tetapi sejak kebelakangan ini sikapnya berubah menjadi pendiam. Pernah juga Iqram bertanya jika dia menghadapai sebarang masalah. Namun sahabatnya itu menafikannya. Dia pasti sahabatnya itu menghadapi masalah yang sukar dan tidak mahu dikongsi dengan orang lain walaupun dengan sahabatnya sendiri.

***

“Amar, apa kata lepas ni kita pergi Mid Valley nak?” buku di mejanya dikemas.

“Emm boleh juga. Tapi kita solat Asar dulu ya.” jawab Amar tanda setuju.

“Mesti lah,” jawab Hamdan sambil tersenyum. Dia tahu rakannya itu gemar solat tepat pada waktunya. Jarang sekali dia melihat rakannya itu solat diakhir waktu termasuk solat Subuh.

Setelah selesai solat, mereka bersiap untuk pergi ke Mid Valley berdua. Seperti biasa tablet pintar milik Amar turut dibawa bersama. Hamdan hairan melihat rakannya membawa tablet pintar tersebut walhal mereka hanya ingin ke Mid Valley sahaja. Hamdan menyuruhnya meninggalkan tablet pintarnya itu. Namun Amar tetap bertegas untuk membawanya. Hamdan hanya mampu membisu dan mengikut sahaja kemahuan rakannya itu.

Untuk ke Mid Valley mereka boleh menaiki bas atau LRT. Oleh kerana Hamdan teringin sangat menaiki LRT menuju ke Mid Valley jadi mereka bersetuju untuk memilih pengangkutan tersebut. Jarak perjalanan dari Universiti Malaya ke stesen LRT Universiti kurang daripada 500meter. Mereka memilih untuk berjalan kaki sahaja.

Setiba sahaja di platform, Hamdan kelihatan teruja menantikan ketibaan LRT. Sikapnya yang terlalu teruja membuatkan segelintir penumpang yang sedang menunggu berasa kurang selesa. Lagi pun ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kakinya di stesen LRT. Amar pada awalnya kurang percaya dengan pengakuan rakannya itu. Mana mungkin rakyat Malaysia tidak pernah menaiki LRT walaupun sekali dalam hidup mereka.

Kurang dari 10 minit, LRT menuju ke KL Sentrel tiba di platform. Keterujaan Hamdan semakin membara. Apabila pintu LRT dibuka, Hamdan orang pertama yang melangkah masuk ke dalam LRT. Amar hanya mampu melihat gelagat rakannya yang pasti mencuit hati semua orang yang melihatnya. Sepanjang perjalanan, mata Hamdan tidak jemu memandang pemandangan bandar menerusi jendela LRT.

Ternyata negara bertuah ini telah berkembang pesat menuju ke arah negara maju. Taburan monumen dan bangunan yang tersegam megah di ibu kota membuatkan bandar ini serba maju dalam segala aspek. Hamdan berasa bangga kerana menjadi rakyat Malaysia. Bukan sahaja maju malah aman sentosa tanpa sebarang perpecahan.

Leka sungguh Hamdan melihat pemandangan bandar sehingga tidak sedar dia sudah tiba ke destinasi yang ingin ditujuinya iaitu KL Sentrel. Mereka harus ke stesen tersebut untuk membuat pertukaran ke KTM bagi ke destinasi seterusnya iaitu Mid Valley. Hamdan teruja melihat kemajuan infrastruktur di stesen pertukaran tersebut. Oleh kerana Hamdan berasal daripada keluarga yang berada jadi tidak hairanlah jika Hamdan tidak pernah menjejakkan kakinya ke KL Sentrel. Hanya kereta dan kapal terbang sahaja yang pernah dinaikinya.

Namun, Hamdan tidak pernah bersikap angkuh dengan kekayaannya. Baginya kekayaan yang dimilikinya ini semuanya hasil daripada kesungguhan ibu bapanya bekerja. Dia hanya menumpang kesenangan ibu bapanya. Itulah salah satu sikap yang membuatkan Amar senang mendekatinya.

“Tren dah sampai tu. Jomlah,” Hamdan menarik lengan Amar tanda tidak sabar untuk menaiki KTM. Amar hanya tersenyum melihat rakannya itu.

Tren yang memiliki 6kosh itu dinaikinya. Penumpang di dalam tren tersebut kurang ramai membolehkan mereka mendapat tempat duduk masing-masing. Mungkin sebab hari tersebut bukan hari minggu. Jika tidak suasana di dalam tren tersebut sungguh padat dan tidak selesa. Amar memilih untuk mendengar muzik yang disimpan di dalam tablet pintarnya itu menerusi earphone. Sedang Amar memilih lagu pilihannya, tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang.

“Sorry tak sengaja,” suara lelaki itu sedikit garau.

“Tak apa,” balas Amar sambil memberikan sekuntum senyuman.

Penglihatannya beralih ke arah lelaki itu. Lelaki itu membalas senyumannya sebelum membawa diri. Jantung Amar tiba-tiba berdegup kencang melihat lelaki berwajah kemelayuan itu. Darah yang mengalir di seluruh pembuluh darahnya mengalir deras dek degupan jantungnya. Amar cuba menoleh ke belakang mencari mana hilangnya jejaka berkulit sawo matang itu.

Namun bayang jejaka misteri itu lenyap entah ke mana. Mahu sahaja dia berganjak dari tempat duduknya dan mencari siapakah gerangan lelaki itu. Sejujurnya lelaki itu telah berjaya menambat hatinya. Suara lelaki itu menggoda naluri lelakinya. Tapi apa pula kata rakannya itu nanti. Biarlah rasa ini berlalu pergi begitu sahaja. Dia harus menyembunyikan identiti seksualnya daripada pengetahuan umum terutama sekali rakannya Hamdan. Dia tahu bukan semua mampu menerima golongan sepertinya.

Taburan pengunjung di Mid Valley tidak seperti biasa. Bilangan orang yang lalu-lalang dapat dikira dengan jari sahaja. Golden Screen Cinema menjadi sasaran dua sahabat ini. Mereka memilih untuk menontong filem kegemaran mereka sebelum meneroka seluruh kawasan membeli belah itu. Semasa memesan tempat duduk untuk filem Hantu Kak Limah 2, hanya ada lebih kurang 15 orang sahaja yang telah menempah tempat duduk. Memang benar kata orang hari bekerja merupakan syurga kepada pelajar PASUM.

Mana tidaknya jika mahu menonton filem pasti majoritinya pelajar PASUM yang menempah tempat duduk. Jika makan di food court pasti akan nampak pelajar PASUM di sana sini. Malah berkemungkinan besar jika pelajar PASUM sedang bertemu janji dengan kekasih mesti pecah tembelang. Sebab banyak mata-mata yang melihat terutama sekali pelajar PASUM itu sendiri.

Sementara menunggu masa tayangan, Amar dan Hamdan memilih untuk mengalas perut di Mac Donald berhadapan dengan Golden Screen Cinema. Mudah sikit untuk mereka kerana tidak perlu bergerak jauh jika masa tayangan sudah tiba. Setelah membuat pesanan makanan, mereka berdua memilih tempat duduk di tingkat atas. Katanya lebih selesa dan privasi. Ketika ini Hamdan cuba memberanikan diri untuk bertanya lebih banyak kepada rakannya itu terutama sekali mengenai tablet pintarnya itu.

“Amar, aku nak tanya sikit boleh tak?” Hamdan cuba berlagak selamba.
“Banyak pun boleh,” Amar jawab kehairanan.

“Aku tengok kau suka sangat menghabiskan masa dengan tablet pintar kau tu. Kau buat apa ya? Bukan niat nak busy body tapi cuma nak tahu,” wajah Hamdan mencerminkan keraguan kepada rakannya.

“Macam biasa update status Facebook, tweeting and update blog. Kenapa?”

“Bukan apa, aku selalu nampak kau berjaga malam dan sibuk menaip sesuatu.”

“Amboi kau intip aku ya? Bertuah punya Hamdan.” pada awalnya dia agak terkejut dan akhirnya dia ketawa geli hati kerana tidak sangka kawannya itu sungguh prihatin terhadanya.

“Weh aku serius lah!” soal Hamdan dengan nada serius. Amar cuba menahan gelaknya bila melihat rakannya memang ingin mengetahui kebenarannya.

“Kau ni seriusnya? Aku akan cerita tapi janji jangan cerita dengan orang lain. Aku tak nak ramai yang tahu siapa aku sebenarnya.”

“InsyaAllah aku janji. Tak kan tak percaya aku.” Hamdan cuba meyakinkan Amar.

“Sebenarnya aku sibuk siapkan satu novel untuk pertandingan novelis muda. Jadi tu yang aku bertungkus-lumus berjaga malam untuk siapkan novel tu. Aku sebenarnya AJ,” Hamdan kaku seketika bila mendengar penerangan rakannya itu.

Dia tidak menyangka bahawa rakannya itu seorang penulis. Paling mengejutkan, rakannya itu adalah penulis yang amat dia minati. Dia sukar untuk mempercayainya. Beberapa kali dia melihat wajah rakannya itu sama ada rakannya jujur atau tidak.

“Yang kau diam ni kenapa? Mesti tak percayakan?” soal Amar.

“Susah aku nak percaya. Ok kalau betul kau penulis bernama AJ tu. Aku nak tanya sikit. Apa ayat terakhir yang ditulis dalam sudut penghargaan novel tu?” soal Hamdan penuh kecurigaan.

Amar terkedu mendengar soalan daripada rakannya itu. Dia membisu seketika.

BERSAMBUNG

MARATHON BUKAN UTK AMAR

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s