BUKAN UNTUK AMAR (Bab 4)

Be-Yourself-No-Matter-What

“Bukan penulis geranganku, bukan cerita taruhanku, cuma ikhlas ku sampaikan untuk semua,” jawab Amar dengan gayanya tersendiri.

“Wah, memang betul apa yang kau cakap tu. Jujur aku tak sangka penulis kesayangan aku ni rupanya rakan sebilik aku. Patutlah waktu awal perkenalan kita dulu, kau sungguh-sungguh nak tahu komen aku fasal novel yang aku baca tu,” Hamdan cuba mengingati semula saat itu.

Hamdan dan Amar sibuk mengemas barang masing-masing untuk dimuatkan di dalam almari bilik. Memandangkan Amar siap mengemas terlebih dahulu, jadi dia menawarkan diri untuk membantu Hamdan mengemas. Hamdan menyuruhnya mengemas kesemua novel yang dibawanya bersama. Ketika itulah Amar ternampak karya hasilnya turut ada bersama koleksi novel milik Hamdan.

“Lah kau pun suka baca novel? Boleh lah nak pinjam nanti?” tangannya ligat meneliti novel milik Hamdan.

“Boleh, apa salahnya,” jawab Hamdan selamba.

“Kau dah baca novel ni? Best tak?” Amar memegang novel hasil karya AJ.

“Best tau. Dia ni penulis kegemaran aku. Walaupun dia sebaya dengan aku tapi hasil penulisan dia sangat matang. Jalan cerita pun menarik. Kau kena baca novel ni,” jawab Hamdan bersungguh-sungguh.

“Nampaknya kau tahu banyak pasal novelis ni?” soal Amar lagi.

“Tak juga, penulis ni jenis berahsia sikit. Lagi pun dia masih baru lagi dalam bidang penulisan. Mungkin sebab tu dia kurang dikenali,” jawab Hamdan lagi.

“Tapi kenapa kau tak mahu orang tahu siapa kau?” soal Hamdan sambil mengunyah kentang gorengnya yang dipesan tadi.

“Belum tiba masanya. Lagi pun aku masih baru dalam bidang ni. Kau juga yang cakap hari tu?”

“Ya lah. Habis tu cerita yang kau tengah buat ni dah nak siap ke?”

“Sikit lagi siap lah. Aku nak semak balik plot cerita. Mana tahu ada yang tak kena.”

“Boleh aku baca tak?” Hamdan senyum tanda membodek.

“Tak boleh. Ini khas untuk pertandingan tu. Aku cuma boleh cerita dekat kau sikit je.”

“Ya lah. Kau ni memang privasi betul lah. Tapi aku banggalah dapat kawan dengan penulis. Nanti boleh minta tanda tangan?”

“Boleh lah. No problem. Tapi janji tau jangan bagi tahu sesiapa,” Amar memperingati rakannya sekali lagi.

“Ok boss,” jawab Hamdan sambil meletakkan tangannya pada dahi seperti ketua komando menerima arahan.

Panjang lebar mereka bercerita sepanjang makan sehingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Jam tangan milik Amat yang dipakai kemas pada pergelangan tangan kanannya dilihat. Sudah tiba masanya untuk tayangan filem yang mereka nanti-nantikan. Sisa makanan yang tertinggal dihabiskan dengan segera. Air milo sejuk dihirup dengan pantas. Mereka bergegas meninggalkan tempat itu.

Tanpa disedari sepasang mata sedang asyik melihat mereka sejak awal perbualan mereka lagi. Kening lebat sebelah kirinya terangkat ketika melihat dua sahabat itu. Lelaki itu tersenyum sinis seperti punya idea jahat yang bakal dirancang. Pasti salah seorang daripada mereka dalam bahaya. Lelaki berkaca mata itu bergegas meninggalkan tempat duduknya dan mengekori mereka.

Deretan banglo mewah di cerun bukit berdekatan Bandar Tun Hussien Onn menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Bukan sahaja besar, malah struktur banglo sungguh moden dan megah bila diamati. Sudah pasti dihuni oleh golongan hartawan mahu pun golongan cerdik pandai. Kedudukannya di cerun bukit pasti memberi panorama yang indah jika dilihat menerusi jendela dan balkoni banglo mewah itu.

Sebuah teksi merah menghampiri sebuah banglo tersegam megah berwarna biru laut. Pintu bahagian penumpang terbuka. Kelihatan seorang lelaki lingkungan awal 20-an keluar daripada perut teksi merah itu. Langkahnya menghampiri banglo tersebut dan menekan suis loceng. Beberapa kali suis itu ditekan kerana masih belum ada sesiapa yang memberi respon terhadap kehadirannya itu. Belum sempat dia menyeluk telefon pintar di dalam poket seluarnya. Seorang wanita berbaju blaus berona hijau muda disertakan dengan tudung muncul di sebalik pintu rumah.

Raut wajah wanita lingkungan 40-an sangat gembira seperti mengalu-alukan kehadiran lelaki tersebut. Setelah pintu pagar automatik itu dibuka. Lelaki itu lekas bersalaman lalu memeluk wanita itu dengan erat seperti sedang melepaskan rindu yang teramat sangat kepada wanita itu. Wanita yang merupakan ibu kepada lelaki itu mengusap kepala anaknya itu penuh kasih sayang.

“Ummi apa khabar? Rindulah,” tanya si anak kepada ibunya dengan nada manja.

“Alhamdulillah, sihat. Kamu ni pun balik kenapa tak bagi tahu. Nasib baik ibu tak pergi ke mana-mana. Kalau tidak duduk dekat luarlah kamu nanti,” jawab si ibu panjang lebar. Senyuman tidak lekang dari bibir si ibu.

“Sengaja nak buat kejutan. Abah mana?” soal si anak.

“Abah kamu macam biasalah main golf dengan kawan dia. Hafiz balik naik apa ni? Mana kereta?”

“Hafiz balik naik train dan datang sini naik teksi. Malas nak bawa kereta jadi Hafiz tinggalkan dekat kolej.”

Datin Hamidah hanya membisu mendengar jawapan daripada anak lelaki tunggalnya itu. Dia sudah masak dengan sikap anaknya yang tidak gemar memandu kereta sendiri. Anaknya lebih rela bersusah payah menaiki pengangkutan awam berbanding memandu kereta. Ketika bapa kepada Hafiz iaitu Datuk Kamarudin ingin membelikan kereta buat anaknya itu, Hafiz menolak sekerasnya. Baginya dia ingin hidup seperti orang biasa tanpa mengharapkan bantuan daripada kedua ibu bapanya.

* * *

Pintu masuk Universiti Malaya sangat sibuk dengan keluar masuk kenderaan. Sama ada kenderaan milik pensyarah, kakitangan universiti serta pelajar universiti tersebut. Sebuah kereta Produa Myvi berwarna oren muda menyusur masuk ke pintu gerbang universiti. Kelihatan seorang lelaki berusia awal 20an di tempat duduk pemandu kereta Produa Myvi tersebut. Tiba-tiba kenderaan itu berhenti di tepi jalan dengan jarak kira-kira 10meter daripada pintu utama universiti.

Samsung Galaxy S3 milik lelaki misteri itu dikeluarkan dari poket seluarnya. Nombor 10 angka ditekan untuk menghubungi seseorang.

“Hello, saya nak tahu di mana kediaman pelajar bernama Muhammad Amar Bin Asri?” soal lelaki misteri itu menerusi panggilannya. Lelaki itu tersenyum sinis apabila mendengar jawapan daripada orang yang dihubunginya itu. Telefon bimbinya dimatikan lalu kenderaannya dipandu laju ke kediaman pelajar asasi universiti.

Prang!! Cawan berisi milo panas yang dibancuh oleh Amar tiba-tiba jatuh daripada genggamannya. Entah mengapa dia merasakan ada petanda buruk yang bakal dia hadapi dalam hidupnya. Hatinya mula gelisah bila melihat cawannya pecah berderai di atas lantai. Yang menghairankannya cawan itu pecah teruk seperti baru jatuh daripada tingkat 6. Walhal cawan itu hanya terjatuh dari ketinggian kurang 28 inci dari lantai.

Cawan yang pecah itu dikutip penuh berhati-hati dan kemudiannya dia memasukan ke dalam tong sampah di bawah meja belajarnya. Hamdan yang baru sahaja pulang daripada membeli mihun goreng terkejut melihat cawan yang pecah itu. Lekas dia mengambil kain basahan untuk mengelap sisa milo yang membasahi lantai iu.

“Kau kenapa? Ok tak?” tanya Hamdan penuh prihatin. Amar hanya membisu seribu kata.

BERSAMBUNG

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s