BUKAN UNTUK AMAR (Bab 7)

Be-Yourself-No-Matter-What

Hiruk-pikuk di kaki lima asrama Amar di pagi hari menyedarkan Amar daripada lena. Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan untuk menerima pancaran cahaya suria. Kaca matanya dicapai dan kepalanya terus menoleh ke arah katil di sebelahnya. Selimat dan bantal yang terletak di atasnya tersusun rapi. Sudah pasti Hamdan telah bangun dari tidurnya lebih awal berbanding dia. Tolehannya tertarik ke arah lain. Meja belajar milik Hamdan kosong tanpa buku serta beg galas yang kerap digunakan untuk ke kuliah. Amar tertanya-tanya adakah dia kelewatan bangun atau rakannya itu sengaja meninggalkannya sendiri terlena dibuai mimpi.

Amar bergegas bangun dari tilamnya dan mencapai tuala mandinya. Perkakas mandinya diambil lalu berlalu lintang pukang ke bilik air. Dia sememangnya sudah terlalu lewat. Dia hairan mengapa rakannya tidak menggerakkan dia dari tidur. Adakah rakannya sukar menerima apa yang diceritakan kepadanya kelmarin. Jika dikenang semula reaksi Hamdan ketika mengetahui perkara sebenar, dia seperti sukar menerimanya. Amar sedar sahabatnya itu akan memandang hina dan jijik seperti seorang pelacur. Manusia mana yang mampu duduk sebilik dengan seorang lelaki yang melakukan hubungan sejenis walaupun tanpa kerelaan.

Selepas selesai Amar membersihkan badannya dan bersiap, dia berlari selaju yang boleh ke dewan kuliah agar tidak kelewatan. Sementara dia mengatur langkah sepantas yang boleh, sebuah teksi berwarna merah menyusur laju secara tiba-tiba dari sisi kiri Amar. Amar langsung tidak sedar akan kewujudan teksi yang menyusur laju menghampirinya. Buku yang dibimbit Amar terlepas dari genggaman dan menaburi di atas jalan. Mujur pemandu teksi itu sempat menekan pedal brek. Jika tidak pasti nyawa anak muda itu melayang entah ke mana.

Amar terkejut dengan kejadian tersebut. Badannya kaku seketika sambil matanya melihat tepat pada bonet hadapan teksi itu. Nafasnya termengah-mengah dek terkejut dengan kejadian tersebut. Pemandu teksi itu memaki hamun Amar dengan perkataan kesat. Memang salah dia kerana melintas jalan tanpa menoleh kiri dan kanan. Syukur sahaja kerana  masih dikandung badan. Buku yang bertaburan di atas jalan dikutipnya dengan segera. Dalam masa yang sama penumpang teksi itu keluar dari perut teksi itu. Lelaki misteri yang tidak tahu indentitinya menghampiri Amar.

“Awak ok ke? Ada cedera ke?” soal lelaki itu sambil membantu Amar mengutip bukunya yang terjatuh tadi.

“Alhamdulillah, saya ok. Maaf sebab salah saya melintas tak toleh kiri kanan,” wajahnya di angkat dan melihat siapa lelaki itu.   Mereka berdua membisu seribu bahasa. Mata Amar bertentang mata dengan lelaki itu, lelaki yang pernah ditemuinya sebelum ini. Jantungnya berdegup kencang sama seperti ketika dia bertemu dengan lelaki misteri yang tidak sengaja melanggarnya di dalam KTM semasa keluar bersama dengan Hamdan. Dari raut wajah lelaki itu, dia yakin memang benar lelaki yang ditemuinya itu sama dengan lelaki yang berada dihadapannya itu.

“Kita pernah bertemu ke sebelum ni?” soal lelaki itu.

“Ya, awaklah yang langgar saya hari tu. Tak sangka kita jumpa lagi.” jawab Amar. Pipinya kemerah-merahan bila lelaki itu menghadiahkan sekuntum senyuman.

“Maafkan saya ya pasal kejadian hari tu dan sekarang ni. Nasib baik driver teksi ni sempat brek. Kalau tidak mungkin kita tak sempat berkenalan”, tangannya mengusap lembut rambut Amar yang sedikit serabai.

Amar hanya merelakan perbuatan lelaki itu. Hatinya rasa bahagia kerana diperlakukan sebegitu. Sepanjang hayatnya tidak pernah seorang pun yang mengusap rambutnya selembut dan seikhlas lelaki itu. Mungkin pada awalnya Amar agak tercengang bila diperlakukan begitu. Tetapi dia tidak boleh menipu dirinya yang dia suka diperlakukan begitu. Belum sempat dia mengelamun jauh, kotak fikirannya mula menghantar isyarat kepadanya tentang suatu perkara yang lebih penting. Kuliah. Dia hampir lupa tentang kuliahnya.

“Maafkan saya, saya kena pergi dulu. Saya dah lewat nak ke kuliah. Assalamualaikum”, Amar terus beredar meninggalkan lelaki itu.   Lelaki itu hanya merelakan pemergian Amar. Sebagai pelajar universiti, kelewatan menghadiri kuliah menjadi suatu kebiasaan terutama sekali jika bersengkang mata pada malam hari untuk mengulang kaji pelajaran. Lelaki itu tersenyum melihat gelagat Amar tadi. Sebelum lelaki itu masuk kedalam teksi, sebuah buku berwarna hitam gelap di atas jalan itu menarik perhatian dia.

“Ini pasti milik budak tadi”, bisik hati lelaki itu. Tanpa melengahkan masa lagi buku itu dimasukkan ke dalam beg galasnya dan terus beredar dari tempat tersebut.

Bilik Amar dan Hamdah kali ini sunyi sepi berbeza dengan sebelumnya. Walaupun mereka berdua ada dalam bilik itu tetapi kesunyiannya seperti bilik itu tidak berpenghuni. Kewujudan Amar sebagai rakan sebiliknya seperti tidak diendahkan langsung. Sejak dari sesi kuliah sehinggalah tamat waktu tutorial, Hamdan langsung tidak bercakap dengan Amar. Sedikit sebanyak Amar berasa terkilan kerana rakannya yang telah dianggap sebagai sahabatnya sepanjang di pusat asasi ini tidak dapat menerima masa lalunya. Putus asa dan kecewa menyelubungi diri Amar sepanjang hari itu. Namun, memang wajarlah dirinya dilayan seperti itu. Sudah menjadi lumrah manusia seperti dia akan dibenci dan dihina jika masyarakat mengetahui identitinya yang sebenar.

Kotak berona biru yang dijumpai dihadapan biliknya ditatap beberapa kali. Amar malu melihat aksinya melayan nafsu senior-seniornya semasa di sekolah menengah yang dimuatkan dalam pendrive dan diisi di dalam kotak berona biru itu. Ditambah pula video itu turut dilihat oleh Hamdan menerusi tablet pintarnya itu. Bukan sekadar video, malah gambar dirinya terbaring tanpa seutas benang turut dimuatkan dalam kotak itu. Sejak itu Hamdan mula membisu tanpa berbicara. Sempat Amar mengingati reaksi Hamdan ketika melihat video itu. Kerutan wajahnya jelas menggambarkan betapa jijiknya dia melihat aku.

Tanpa disedari matanya mula berkaca dan menitis membasahi pipi. Lekas dia menyekat air mata itu dari terus menitis membasahi wajahnya. Butiran air mata itu mengingatkan dirinya terhadap nasib dan takdir hidupnya. Adakah hidupnya hanya dipenuhi dengan duka dan lara akibat daripada dosa masa silamnya. Bukan salah dia semua ini terjadi. Semuanya salah abang angkatnya, Farish. Mengapa lelaki iblis itu kembali lagi dan mencari dia malah mengungkit kisah silamnya?

Di saat dia sedih melayan jiwa, tiba-tiba bahunya dipegang seseorang yang amat dikenalinya. Memang benar dia adalah sahabatnya, Hamdan. Belum sempat Amar berkata, Hamdan terus mendakap erat tubuh Amar. Pelukan yang amat diperlukan Amar untuk terus kuat dan berani menghadapi masa hadapan. Pelukan yang banyak memberikan sokongan dan dorongan agar dia terus gagah berani hadapi cabaran. Amar lega kerana akhirnya Hamdan menerimanya seadanya.

“Aku minta maaf Am. Memang susah untuk aku terima tetapi aku tahu ini semua bukan kehendak kau, Am. Aku tak sepatutnya melayan kau macam ni. Aku minta maaf,” Hamdan menghulurkan tangan sebagai tanda maaf. Amar hanya tersenyum lega dan membalas salam Hamdan. Mentari petang menjadi saksi persahabatan mereka tidak akan putus walaupun dilanda bencana.

*  *  *  *  *

Pertemuan kali kedua antara Hafiz dan pelajar program asasi sains hayat yang berlaku secara tidak sengaja membuatkan dirinya tertanya-tanya. Siapa sebenarnya lelaki itu? Mengapa dirinya asyik memikirkan lelaki itu? Persoalan itu terus menerus menyoal dirinya. Pertemuan yang berlaku amat pantas menyebabkan dia lupa untuk memperkenalkan diri. Buku berona hitam yang ditinggalkan oleh lelaki itu dibeleknya. Corak motif geomatrik pada muka surat hadapan menaikkan aura untuk si pembacanya meneroka setiap helaian muka surat buku itu. Mata Hafiz tertumpu pada satu sudut maklumat pada helaian kedua buku itu. Bibir nipis miliknya mula mengukir senyuman.

BERSAMBUNG

MARATHON BUKAN UTK AMAR

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s