BUKAN UNTUK AMAR (Bab 13)

Be-Yourself-No-Matter-What

Wajah Amar pucat apabila melihat tingkap biliknya yang pecah. Wajahnya semakin pucat apabila melihat sebiji batu yang mempunyai diameter kira-kira 5cm dibaluti kertas berwarna putih berdekatan dengan serpihan tingkap yang pecah itu. Belum sempat dia mengambil batu itu, Hamdan menepis tangannya. Hamdan melarangnya mengambil batu itu.

“Biar aku yang ambil. Mungkin ini perangkap untuk kau,” nasihat Hamdan. Dia memberanikan diri mengambil batu yang berbalut kertas berwarna putih itu. Ternyata disebalik kertas tersebut terdapat nota yang ditulis dengan pen marker berwarna merah terang. Nota itu ditujukan khas untuk Amar kerana terteranya nama Amar dalam potongan ayat yang ditulis pada kertas tersebut.

“Aku tahu siapa kau Amar tapi kau tak tahu siapa aku. Jangan sesekali kau dekati Hafiz jika kau mahu hidup selamat. Kalau tidak kau akan terima bahana dalam hidup kau. Dan aku akan pastikan hidup kau merana!”

Sekali lagi Amar ditimpa situasi yang sukar. Dahulu dia diugut oleh Farish dan kali ini diugut oleh individu misteri. Hamdan keliru dan sukar terima keadaan yang aneh ini. Dia tidak selesa kerana sahabatnya asyik diugut oleh mereka yang mengenali Amar dan pernah muncul dalam masa lalu Amar. Baginya dia masih baru mengenali Amar dan masih banyak lagi perkara yang masih belum diketahui mengenai Amar.

Kali ini Hamdan tidak mampu lagi menyimpan segala persoalan yang sudah lama terpendam dalam hatinya. Amar yang dari tadi duduk termenung di sudut katil dipaksa untuk mengikutnya ke suatu tempat. Beberapa kali Amar bertanya ke mana ingin mereka tujui. Hamdan hanya berdiam diri dan terus menarik lengan Amar. Amar hanya akur. Setelah jauh mereka berjalan meninggalkan kolej kediaman mereka, baru Amar sedar yang Hamdan ingin membawanya ke fakulti kejuruteraan.

“Kau nak bawa aku ke mana ni Hamdan!” jerit Amar. Langkah mereka terhenti di hadapan bangunan Canseleri bersebelahan tasik varsiti.

“Aku nak kau jujur dengan aku! Kau gay atau normal? Kau jujur dengan aku,” soal Hamdan bernada serius.

Amar terkejut dengan soalan tajam dari Hamdan. Hatinya tersentap dengan persoalan Hamdan yang baginya terlalu berterus terang. Suasana sunyi di tasik varsiti itu dicemari dengan bunyi suara mereka berdua. Hamdan masih menanti jawapan Amar.

“Ya, memang aku gay. Tapi aku…” belum sempat Amar menghabiskan ayatnya, Hamdan terus mencelah.

“Itu sahaja yang aku nak tahu. Aku faham dan kau jangan risau walaupun kau macam ni aku tetap kawan kau. Tapi ada satu benda yang aku nak tahu,” soal Hamdan.

“Aku tahu ini bukan masa yang sesuai untuk aku persoalkan semua kekeliruan aku. Tapi aku dah tak sanggup untuk terus keliru dengan sahabat aku sendiri,” luah Hamdan panjang lebar.

“Aku nak tahu siapa yang selalu ugut kau? Siapa dia sebenarnya. Apa salah kau pada dia sampai dia cari kau sampai sini? Aku rasa tak selesa tengok hidup sahabat aku macam ni!” luah Hamdan lagi. Namun kali ini nada suaranya lebih keras dan tegas. Kekeliruannya pada tahap yang maksimum.

Amar tidak dapat berdalih lagi dan mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia menerangkan segala perkara yang telah berlaku dalam hidupnya. Kesemuanya tanpa tertinggal walau sedikit pun. Pandangan mata Hamdan sungguh tajam menusuk ke mata Amar tanpa halangan. Amar cuba menarik nafas sedalam-dalamnya bagi mencari kekuatan untuk dia menceritakan segala kebenaran yang pada awalnya ingin dirahsiakan tanpa pengetahuan sesiapa pun.

“Kau satu-satunya sahabat aku sepanjang di sini. Memang aku percaya kau lebih dari orang lain. Jujur aku katakan aku tak cukup kuat untuk menceritakan perkara yang sebenar kepada kau. Sebab aku yakin kau pasti akan sukar menerimanya,” terang Amar panjang lebar. Hamdan tekun mendengar setiap lafaz yang keluar dari mulut sahabatnya itu. Kali ini dia lebih memilih untuk berdiam diri dan mendengar luahan perasaan sahabatnya itu.

Dingin pagi mula bertukar hangat apabila sang mentari pagi mula mendaki langit menerangi seluruh bumi varsiti. Hamdan dan Amar masih lagi duduk di wakaf berdekatan tasik varsiti di universiti mereka bagi merungkai segala rahsia masa lalu Amar. Keringat mula membasahi dahi dan tengkuk anak muda ini. Amar masih lagi membisu menyusun kata-kata bagi meneruskan penceritaan mengenai kisah silamnya. Hamdan masih setia menanti jawapan Amar walaupun keringat sudah mula membasahi tubuhnya.

“Terlalu pahit untuk aku kenang semula kisah silam yang tidak pernah aku sangka akan berlaku dalam hidup aku. Hakikatnya semuanya telah aku harungi walaupun perit tanpa pengetahuan sesiapa terutama sekali ibu bapa aku. Mereka terlalu baik untuk aku. Pengorbanan mereka terlalu besar dan tak tahu sampai bila mampu aku balas,” Amar meneruskan kata-katanya yang terhenti seketika tadi.

“Semuanya bermula masa sekolah menengah dulu. Susah untuk aku terima bila abang angkat aku cuba ambil kesempatan terhadap aku semata-mata nak memuaskan nafsu songsang dia. Masa tu aku tak mampu nak buat apa-apa sebab dia dah tahu identiti seksual aku,” keluh Amar. Matanya mula berkaca semasa menceritakan perkara tersebut.

“Aku tak mampu melawan sebab ramai masa tu. Aku tak sangka yang dia suka aku dan terlalu gilakan aku. Selepas kejadian itu berlaku, aku terus buat keputusan untuk pindah sekolah. Sejak itulah aku dah tak jumpa dia lagi. Tapi entah kenapa baru sekarang dia cari aku balik.”

“Habis tu kau ada jumpa dia tak?” soal Hamdan.

“Ada, dia datang masa majlis penghayatan Islam tu.”

“Hafiz pula siapa?” soal Hamdan penuh curiga. Amar terkesima dengan soalan Hamdan itu. Wajarkah dia memberi tahu perkara sebenar mengenai Hafiz yang masih baru dikenalinya.

“Aku tanya ni siapa Hafiz?” desak Hamdan lagi.

“Emmmm dia sebenarnya. Sebenarnya..” tiba-tiba kata-katanya terputus apabila telefon bimbit milik Hamdan berdering menandakan satu panggilan masuk. Hamdan hairan kerana nombor yang menghubunginya itu tidak bernama.

“Hello?” panggilan dijawab.

“Kalau kau nak tahu siapa sebenarnya Amar?” soal si pemanggil misteri. Nada suaranya garau dan sudah pasti dia lelaki.

“Kau siapa?” soal Hamdan serius. Amar cuba mencuri dengar perbualan mereka tetapi gagal apabila Hamdan beredar dari tempat duduknya itu.

“Kau tak perlu tahu siapa aku. Yang penting aku tahu yang kau nak tahu banyak perkara fasal Amar bukan? Jumpa aku malam ni di Mid Valley tepat jam 8.30 malam. Tempat aku beritahu kemudian,” si pemanggil terus mematikan telefonnya. Hamdan belum sempat berkata-kata. Kini dia mula keliru dengan sahabatnya itu.

Mengapa terlalu ramai individu misteri mucul sejak kebelakangan ini. Siapa pula lelaki misteri yang menghubungi dia tadi? Bagaimana dia tahu mengenai Amar? Bagaimana dia boleh dapat nombor telefon bimbitnya itu? Adakah dia orang yang baik atau pendusta semata-mata. Demi mengetahui perkara yang sebenar dia perlu bertemu dengan lelaki misteri itu. Mesti! Amar hanya memerhatinya dari jauh.

“Kenapa kau terlalu misteri Amar. Kenapa?” bisik hati Hamdan. Dia hanya memberi senyuman tawar kepada Amar yang dari tadi melihatnya.

* * * * * * * * * * * *

“Kau sejak kebelakangan ni aku tengok macam bahagia je. Ada benda yang gembira ke?” tanya Iqram yang sedar akan perubahan pada Hafiz.

“Ya ke? Aku rasa biasa je,” jawab Hafiz berpura-pura seperti tidak merasakan apa-apa.

“Ya lah, dulu kau selalu murung tiba-tiba. Tapi sekarang kau lebih ceria macam yang aku kenal dulu.” Hafiz tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya itu. Mungkin benar dia kerap murung dulu memikirkan tentang wanita yang ingin dijodohkan dengannya. Namun, kehadiran Amar memberi dia semangat dan kekuatan untuk menghadapi semua itu. Tetapi dalam masa yang sama dia tidak dapat membohongi hatinya yang sudah dihuni oleh Amar.

“Weh, aku tanya ni? Yang kau mengelamun asal? Kau ni!” tegur Iqram.

“Ish tak ada lah. Aku ok je, cuma sejak kebelakangan ni aku rasa tenang sikit,” jawab Hafiz.

“Ya ke? Baguslah kalau macam tu. Aku pun tak suka tengok kau murung memanjang,” jawab Iqram lega melihat perubahan baik Hafiz.

“Weh, malam ni aku nak keluar dengan kawan sekejap. Kalau aku lewat balik jangan lupa kunci pintu bilik. Kemarin jiran selang dua bilik kita kena pecah masuk masa tidur sebab lupa nak kunci pintu,” keluh Hafiz kerisauan.

“InsyaAllah. By the way, kau nak keluar dengan siapa? Awek baru ke?” Iqram cuba mengorek rahsia.

“Tak ada lah. Keluar dengan kawan lah. Lelaki pun, kau ni!” jawab Hafiz dengan nada selamba.

“Oklah tapi kalau aku dapat tahu kau keluar dengan awek siap kau! Nak berahsia dengan aku sangat kan,” sindir Iqram. Hafiz tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya itu. Kalau benar dia keluar dengan perempuan mungkin dengan kawan sekelasnya sahaja. Layakkah dia untuk wanita?

“Ok lah aku gerak dulu. Jangan lupa kunci pintu. Bye,” Hafiz akhiri perbualan dengan membawa diri dari bilik.

* * * * * * * * * * *

Mata Amar leka menatap skrin komputer riba miliknya. Reka bentuk alat elektronik itu cukup memikat sesiapa sahaja yang melihatnya ditambah pula dipadatkan dengan fungi yang pelbagai. Malah skrin komputer tersebut mempunyai fungsi sesentuh membuatkan produk keluaran Sony edisi Vaio tampak lebih mewah. Memandangkan Amar terlalu sibuk dengan rutin hariannya sebagai pelajar, laman blognya sudah lama tidak dijengahnya. Ruangan komen pembaca penuh dengan komen mereka yang sudah hampir 2 minggu tidak berbalas. Ada yang memuji penulisannya dan ada juga yang mencemuh. Tak kurang juga pembaca yang menanyakan soal Amar yang sudah lama tidak menerbitkan sebarang penulisan.

Tumpuannya terganggu apabila tablet pintar miliknya berdering menandakan satu panggilan masuk. Tertera nama Hafiz pada skrin 7inchi tabletnya. Terukir senyum dibibir Amar menerima panggilan tersebut.

“Hello, Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam, ni abang,” jawab si pemanggil.

“Tahu. Kenapa ya?”

“Cuba Am pergi ke balkoni sekejap.”

“Kenapa?” soal Amar kehairanan. Langkahnya diatur rapi menuju ke balkoni biliknya. Kelihatan jasad Hafiz sedang melambai tangan kepadanya.

“Tengah buat apa? Sibuk tak?” soal Hafiz.

“Tak juga, cuma tengah tengok blog.”

“Baguslah macam tu. Abang nak ajak Am teman abang keluar malam ni. Boleh?”

“Emm boleh tapi kita nak ke mana?”

“Cepat bersiap, abang tunggu Am dekat bawah. Cepat tau! Bye!” panggilan terus ditamatkan. Amar belum sempat bertanya lagi. Dia lekas menyiapkan diri.

Sedang dia sibuk menyiapkan diri matanya tidak sengaja tertumpu ke arah katil Hamdan. Sejak waktu Maghrib lagi dia sudah menghilang, hatinya tidak keruan ke mana sahabatnya pergi. Wujud keresahan juga kerana sahabatnya jarang keluar malam malah pergi bersendiri lagi.

“Aku harap kau ok sekarang,” bisik hati Amar yang kebimbangan. Pintu biliknya dikuci rapi lalu meninggalkan kolej kediamannya.

* * * * * * * * * *

“Kau dekat mana? Aku dah sampai dekat tempat yang kau janjikan,” soal Hamdan kasar kepada si pemanggil menerusi telefon bimbitnya.

“Aku ada dekat dalam,” jawab lelaki misteri itu.

Restoran Old Town di Mid Valley menjadi lokasi pertemuan Antara Hamdan dengan lelaki misteri yang mengakui dirinya seseorang yang amat mengenali Amar. Suasana restoran itu sunyi tanpa pelanggan mungkin kerana bukan waktu kemuncak. Matanya tertumpu kepada sebuah jasad yang berbaju hitam sedang duduk menanti seseorang. Mungkin itu lelaki misteri yang ingin ditemuinya. Dia memberanikan diri mendekati lelaki tersebut.

“Kau ke yang…” Hamdan mula menyuarakan soalan.

“Ya, Hamdan bukan? Duduklah,” jemput si lelaki misteri itu.

“Waiter!” panggil si lelaki misteri itu.

“Tak perlu. Aku datang sini bukan nak makan tapi aku nak tahu fasal Amar. Siapa dia sebenarnya?” Hamdan tegas ingin mengetahui siapa sebenarnya Amar. Lelaki itu tersenyum sinis melihat reaksi Hamdan.

“Kau masih ingat tentang kotak yang Amar dapat dekat depan pintu bilik tu?” soal lelaki misteri itu. Hamdan terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Beribu persoalan bermain dalam mindanya. Bagaimana dia boleh tahu fasal kotak misteri itu? Siapa dia sebenarnya? Kenapa dia nak beritahu rahsia Amar?

“Kau siapa sebenarnya?” dahi Hamdan berkerut melihat lelaki misteri itu.

“Hahahahah,” lelaki itu tertawa sinis mendengar soalan Hamdan. Hamdan hampir naik berang tapi cuba dikawal.

“Nampaknya masih banyak yang kau belum tahu fasal Amar!” sindir lelaki misteri itu.

BERSAMBUNG

MARATHON BUKAN UTK AMAR

P/S: Sorry lambat post! Sekarang tengah cuti semester. Saya akan cuba post secepat yang boleh! 🙂 Thanks sebab sudi menanti cerita Bukan Untuk Amar!

Advertisements

6 thoughts on “BUKAN UNTUK AMAR (Bab 13)

  1. salam Mr k..
    abgNakal mmg layan citer kamu ni..sambil2 makan meggi big kari, sambil2 gigih mengunyah kuaci, sambil2 layan minum ‘neskopi’–what can i say?u did a great job man, dan mmg turbaaeekk..!!
    –teruskan berkarya..tgh sabor menunggu next episode..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s