BUKAN UNTUK AMAR (Bab 19)

Be-Yourself-No-Matter-What

Melodi yang terhasil dari alat muzik harmonika yang dimainkan oleh pemuzik jalanan menghidupkan suasana yang istimewa di sekitar stesen komuter Bandar Tasik Selatan. Alunan muzik merdu itu dibawa oleh bayu petang berjaya mengubati suasana hambar di persekitarannya. Kelihatan Amar sedang bersandar di sebalik dinding platform turut terhibur mendengar alunan muzik tersebut. Setiap not lagu yang dimainkan begitu bersesuaian dengan jiwa Amar. Lembut dan mendayu-dayu. Ternyata keadaan ini telah membawa rohnya bersama-sama ke alam yang jauh dari realiti. Rupa bentuk negara kegemarannya sudah muncul, kini rohnya sudah berada di Korea. Melodi merdu itu masih menjadi muzik latarnya.

Sedang dia leka meletakkan dirinya dalam dunianya sendiri, tiba-tiba muncul sekujur tubuh tegap sedang berdiri di hadapannya. Dia hairan bagaimana lelaki itu boleh muncul dalam imaginasinya walhal dia langsung tidak membayangkannya. Lelaki yang amat dia cintainya itu mula mendekatinya. Selalunya tubuh itu pasti hadir dengan senyuman yang mampu mewarnai hidup Amar. Tetapi kali ini tubuh yang berdiri tidak jauh dari hadapannya itu membawa wajah yang berbeza. Kesedihan dan kekecewaan tergambar jelas di wajah lelaki itu. Ternyata jiwa Amar terusik dengan apa yang dilihatnya sendiri. Sempat dia melihat air mata lelaki itu sudah membasahi hampir seluruh wajahnya sendiri. Amar terkejut, lalu bayangan itu terus hilang.

Kini dia sudah kembali dalam dunia realitinya sendiri. Dia hanya terlalu leka mencipta angan-angan berada di Korea akibat dari tawaran yang diterima dari Idham. Sejujurnya dia ingin menerima tawaran tersebut tanpa memikirkan perkara lain. Bukan sekadar dapat belajar di negara serba maju itu, malah pembelajarannya turut ditanggung oleh syarikat Idham. Namun bayangan wajah Hafiz dalam imaginasinya telah membuatkan hatinya berbelah bahagi untuk terus berdiri dengan keputusannya. Adakah dia cukup kuat untuk berjauhan dengan orang yang dicintainya?

 

* * * * * * * * * * * *

Tanggal yang dinanti-nantikan oleh keluarga kedua-dua belah keluarga semakin hampir. Dada Husna kini semakin sesak dan lelah. Jujur hatinya sukar untuk menghadapi masa hadapan yang bakal mengubah seluruh hidupnya. Walaupun pertemuan dua keluarga ini hanyalah pertemuan biasa. Namun, niat murni mereka tidak akan pernah berubah iaitu ingin membantu membina masjid untuk anak kesayangan dua keluarga ini. Kekuatan untuk menentang rancangan ibu bapanya hilang apabila mengenang akan hubungan akrab antara dua keluarga ini. Dalam masa yang sama hadir juga perasaan tertanya-tanya sama ada Hafiz turut merasai perkara yang sama.

Setiap kali dia melihat detik waktu yang sentiasa berputar tanpa henti di hadapannya, rasa gementar dan takut hampir sahaja menguasai akal rasionalnya. Beberapa kali lafaz suci menghiasi bibirnya bagi memberi kekuatan dan petunjuk agar dia lebih yakin dalam membuat pilihan. Tubuhnya sudah terbalut rapi dengan berbaju kurung dan hijab berkain satin. Matanya masih bertentangan dengan cermin solek yang memantulkan wajahnya sendiri. Kini dia sedang melihat keadaan wajahnya sendiri. Ternyata dia belum cukup kuat untuk menghadapi perkara tersebut.

Telinganya tertarik dengan satu bunyi yang terhasil di belakangnya. Bunyi pintu biliknya dikuak seseorang membuatkan dirinya tidak senang duduk. Serta merta air matanya mengalir deras membasahi wajahnya yang sudah disolek rapi. Tubuh yang menyerupai seorang ibu menghampiri Husna yang masih terduduk di hadapan meja solek. Alangkah terkejutnya si ibu apabila melihat keadaan anaknya.

“Kenapa ni Husna? Kenapa menangis ni?” soal si ibu. Husna berusaha mengeringkan air mata tersebut. Dia cuba untuk berlagak biasa namun gagal. Dia sendiri tidak sedar akan air mata yang telah menjadi bukti sebenar jiwanya.

“Tak ada apa ibu. Cuma Husna rasa gementar pula. Bukan apa sudah lama kita tak bertemu dengan keluarga Aunty Hamidah.” Bohong Husna. Dia cuba untuk menenangkan hati ibunya walaupun dia tahu hatinya sedang berlawan dengan realiti.

“Kalau Husna tak mahu ibu jodohkan Husna dengan anak Aunty Hamidah tak apa. Ibu tak kesah.” Jawab si ibu seperti dapat merasai perasaan sebenar Husna.

Husna membisu apabila mendengar kata-kata ibunya. Ternyata dia tidak mampu membohongi ibunya sendiri yang telah mengandung dan melahirkannya. Hati ibu itu mudah terdetik apabila melihat perubahan pada anaknya. Dia tidak mampu menahan sebak dalam benak hatinya. Tanpa berfikir panjang Husna terus mendakap tubuh ibunya sekuat hati. Ianya memberi kejutan kepada si ibu pada awalnya namun perlahan-lahan si ibu menerima pelukan itu dengan rasa yang sama seperti mana yang dirasai Husna. Ternyata ada sesuatu yang mengganggu perasaan anak daranya itu. Ubun anaknya diseuh dan dibelai perlahan-lahan bagi memberikan ketenangan kepada anaknya.

“Husna masih belum boleh lupakan Zafriel?” soal si ibu.

Husna menunduk menghadap ke lantai yang terhias indah dengan mozek apabila soalan itu diajukan kepadanya. Tak lama kemudian dia memandang semula wajah ibunya yang masih setia menanti jawapan darinya. Perlahan-lahan dia mengangguk kepalanya. Belum sempat si ibu memberi respond, hadir pula suara yang sedang memanggil mereka berdua dari ruangan bawah rumah banglo mereka. Si ibu memandang Husna sekali lagi. Si ibu inginkan kepastian sama ada Husna mahu mengikutnya bersama-sama ke rumah keluarga Datin Hamidah atau pun tidak.

“Jom ibu, ayah dah panggil tu,” ajak Husna.

“Betul Husna nak pergi?” soal si ibu inginkan kepastian. Husna mengangguk setuju. Sempat dia melihat Husna menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya walaupun dia tahu anaknya itu cuba membuatkan hatinya tenang walhal anaknya itu masih belum bersedia lagi.

* * * * * * * * * * * * * *

Banglo mewah sekitar Bandar Tun Hussien Onn milik keluarga Hafiz sedikit berbeza berbanding hari-hari sebelumnya. Suasana ruang tamu banglo tersebut sememangnya meriah dengan kehadiran keluarga Husna yang sudah lama tidak menjalinkan silaturahim dengan keluarga pemilik banglo tersebut. Mungkin kemeriahan kali ini sedikit berbeza jika dibandingkan dengan pertemuan 10tahun lalu. Dahulunya jeritan suara Hafiz dan Husna berjaya mengatasi suara perbualan antara ibu bapa mereka. Dari ruang tamu sehinggalah ke dapur Hafiz dan Husna berlari-lari saling mengejar antara satu sama lain. Namun kini berbeza, si dara dan si teruna sudah besar panjang malah layak untuk mendirikan rumah tangga di usia muda.

Hafiz yang duduk bersebelahan bapanya cuba untuk tampak ramah di mata orang tuanya. Bukan apa, jika diikutkan hati ingin sahaja dia mengangkat kaki meninggalkan rumahnya itu kerana tidak sanggup bersemuka dengan Husna. Jauh dari hatinya untuk membenci Husna malah dia sudah menganggap gadis itu setaras dengan adik kandungnya sendiri. Dalam masa yang sama dia tidak rela menghancurkan kehidupan Husna jika dia berkahwin juga dengan gadis itu. Bukan sahaja dosa yang bakal diterimanya malah dia juga turut menyeksa dirinya sendiri. Hafiz yakin dia tidak mampu bahagia dan membahagiakan Husna jika perkahwinan antara mereka berlaku.

Acap kali juga mereka bertentang mata tanpa di minta. Malu dan gelisah adalah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan si dara dan si teruna ini. Husna tidak mampu menafikan naluri wanitanya apabila setiap kali bertentang mata dengan Hafiz. Degupan jantungnya tidak henti dari terus berdegup. Ketampanan wajah Hafiz tidak dapat disangkal lagi. Bukan sahaja dirinya malah jika gadis-gadis diluar sana melihatnya sudah pasti turut merasai apa yang dirasainya. Namun, terlalu awal untuk dia mengatakan bahawa bait-bait cinta sudah mula tersemai dalam hatinya.

“Kamu Hafiz dah handsome sekarang. Dah ada ke yang bertempat di hati?” soal bapa Husna. Hafiz tersentap.

Konsentrasi mereka berdua yang sudah lama terhanyut dengan spekulasi hati akhirnya diganggu dengan satu soalan yang telah menggegarkan jantung mereka. Husna juga teruja menanti jawapan tersebut dan dalam masa yang sama dia mengharapkan jawapan tersebut bakal memberikan khabar gembira kepadanya. Belum sempat Hafiz memberikan jawapan, pintu utama banglo milik keluarga Hafiz diketuk seseorang. Munculnya jejaka yang amat Hafiz cintai di sebalik pintu yang terkuak itu. Enam pasang mata semuanya tertumpu ke arah jejaka itu.

“Assalamualaikum,” ucap Amar. Bergegas dia menghampiri ruang tamu dan bersalaman dengan tetamu keluarga Hafiz.

“Waalaikumussalam,” jawab semua. Setelah Amar selesai bersalaman dia lekas meninggalkan ruangan tersebut. Ibu bapa Husna tertanya-tanya apabila melihat seseorang yang agak asing berada di dalam rumah tersebut.

“Siapa tu Hamidah?” soal ibu Husna.

“Oh, itu kawan Hafiz dekat universitinya. Dia duduk dengan kami buat sementara waktu,” jawab Datin Hamidah.

“Eh kamu tak jawab soalan pak cik lagi Hafiz? Kamu dah berpunya ke belum?” soal bapa Husna lagi. Kali ini Hafiz rasa dirinya dipaksa untuk menjawab soalan tersebut.

“Entahlah pak cik. Saya sekarang tengah fokus dengan belajar dulu, fasal calon ni saya tak fikir lagi,” jawab Hafiz. Baginya itulah jawapan yang paling Selamat buat masa sekarang.

“Mana boleh macam tu, sekarang calon bukan senang nak cari. Kalau susah sangat apa kata kawan dengan Husna tu. Kamu berdua pun bukan baru kenal, dari kecil lagi asyik bermain sama-sama,” tambah ayah Husna lagi. Kali ini Hafiz hanya mampu tersenyum tawar tanpa memberikan sebarang jawapan. Husna yang mendengar perbualan mereka itu tertunduk malu.

Tanpa mereka sedar, perbualan mereka sedang didengari oleh seseorang. Jasad Amar yang bersembunyi di sebalik anak tangga menuju ke bilik aras satu menjadi lemah semuanya. Ternyata sangkaannya mengenai Husna itu amat benar. Memang benar niat dua keluarga itu adalah untuk menyatukan Hafiz dengan Husna. Kali ini hati Amar teruji apabila mengetahui bahawa dia perlu bersaing dengan Husna untuk merebut hati Hafiz. Tanpa disedarinya, butir-butir air mata sudah mula membasahi pipi anak muda ini. Dia tidak mampu lagi untuk mendengar perbualan mereka, dia lantas pergi membawa diri ke kamarnya.

* * * * * * * * * * * * * * *

Hati Hafiz terus berkecamuk sejak keluarga Husna pulang. Hasrat besar keluarga mereka yang ingin menjodohkannya dengan anak dara mereka memberi hentaman yang kuat kepadanya. Walaupun cara mereka menyoalkan mengenai status sebenarnya agak berlapik. Tapi dia amat mengerti niat sebenar mereka. Hatinya sukar untuk menerima semua ini, baginya semua perkara ini terlalu awal dan cepat. Mengapa masalah ini hadir di saat cintanya terhadap Amar semakin mekar. Adakah ini adalah cabaran yang mereka berdua harus hadapi bagi menguji kesucian cinta mereka? Apa yang perlu dia perjelaskan kepada Amar jika kehadiran keluarga Husna dipersoalkan? Wajarkah dia berbohong? Amat sukar untuk dia menjadi kejam di saat ini.

Gambar Amar bersamanya yang terpapar cantik pada skrin telefon pintarnya ditatap seketika. Senyuman Amar dalam gambar tersebut berjaya membuatkan dirinya kuat untuk menghadapi cabaran ini. Keberanian untuk dia bersikap jujur kepada Amar semakin kukuh bak dinding konkrit. Dia yakin Amar adalah seorang yang amat memahami malah pernah juga dia merasakan bahawa Amar jauh lebih matang darinya walaupun jarak umur mereka berbeza. Sebagai diri yang lebih tua, ada kala dia berasa segan apabila tindak tanduk Amar jauh lebih baik darinya.

Kesunyian malam bilik Hafiz kini diganggu dengan bunyi ketukan yang datang dari arah pintu biliknya. Seseorang sedang mengetuk pintu biliknya dari luar. Hafiz dapat mengagak siapa gerangan yang hadir ke biliknya pada jam sebegini. Pintu itu akhirnya berjaya dikuak oleh gerangan tersebut. Maka muncul wajah lelaki yang amat Hafiz sayangi dalam hidupnya. Terbentuk cantik bibir Amar memberi senyuman kepada Hafiz yang terduduk sendiri di atas katil. Langkah Amar diatur rapi menuju ke arah Hafiz yang menginginkan kasih sayangnya.

“Abang tak tidur lagi?” soal Amar sambil tersenyum.

“Belum lagi sayang. Nak tunggu sayang lah,” jawab nakal Hafiz. Amar hanya tergelak apabila mendengar ayat berbau nakal dari lelaki itu. Bahu Hafiz dipukulnya lembut.

“Gatal!” jerit Amar.

“Alah bukan gatal dengan siapa pun. Dengan Am juga,” jawab Hafiz lagi. Tubuh kurus Amar dipeluk kuat. Hampir sahaja Amar sesak nafas menerima pelukan dari tubuh kekar Hafiz itu.

“Lepaslah, nak sesak nafas dah nih!” jerit Amar lagi. Lantas Hafiz melepaskan pelukan tersebut. Memang sengaja Hafiz berbuat demikian kerana dia gemar melihat wajah Amar dalam keadaan tersiksa.

“Ok, ok. Am, abang sebenarnya nak bagi tahu sesuatu dekat Amar. Penting sangat dan abang harap Amar faham.” Amar tersentap. Dia tahu pasti Hafiz ingin memberitahunya mengenai peristiwa petang tadi.

“Apa dia?” soal Amar berpura-pura tidak tahu.

“Susah sebenarnya abang nak cakap. Tapi abang rasa Am perlu tahu dan abang tak mahu hati Am terluka walaupun sedikit sebab abang sayang Am sangat-sangat.” Jawab Hafiz lagi.

“Lah, kenapa ni? Ada yang tak kena ke?” soal Amar lagi. Dia masih berpura-pura tidak tahu.

“Ingat lagi tak fasal keluarga yang datang petang tadi. Mereka tu kawan lama ayah dan dulu Hafiz rapat dengan anak mereka, Husna. Masa kecil dulu lah. Tapi sekarang ni tiba-tiba mereka rancang nak jodohkan dia dengan abang. Tapi abang memang tak mahu. Abang dah anggap dia tu macam adik sendiri. Lagi pun Am tahu kan, hati abang ni untuk Am seorang.” Jawab Hafiz panjang lebar. Tangan Amar diusapnya perlahan-lahan bagi menenangkan hati Amar. Amar tersenyum mendengar penjelasan Hafiz. Hafiz kehairanan.

“Abang tahu kenapa Am sayang dekat abang? Sebab abang sentiasa jujur dengan Am. Jujur Am katakana, Am dah tahu semuanya. Tapi sebab Am yakin dan percaya dengan cinta kita. Jadi Am tak perlu rasa risau pun.” Jawab Amar. Hafiz lega mendengar jawapan ikhlas dari Amar. Ternyata kepercayaan dalam perhubungan mereka jauh lebih kuat berbanding rasa keraguan. Lantas tubuh Amar dipeluk Hafiz.

“I love you my dear!” bisik Hafiz di cuping telinga Amar. Suara yang membisik itu sekali lagi berjaya memanah rasa cinta teramat dalam jiwanya. Dakapan Hafiz itu dirangkul kuat bagi mengukuhkan lagi rasa cintanya terhadap lelaki itu.

“I love you too,” balas Amar.

Malam itu menjadi saksi bahawa walaupun mereka bakal menghadapi satu cabaran yang bakal menguji cinta mereka. Namun, rasa cinta mereka lebih kuat untuk mengatasi segala rintangan itu. Malah mereka yakin bahawa pasti banyak cabaran yang bakal mereka hadapi tidak lama lagi. Perkataan gentar langsung tidak ada dalam kamus cinta mereka kerana mereka yakin akan ketulusan cinta mereka. Amar yang dahulunya amat sukar untuk menerima cinta dari seseorang yang bergelar lelaki kini telah tewas dengan bahang asmara dari lelaki bernama Hafiz.

Hayunan kain langsir yang ditiup angin malam menambahkan suasana romatis mereka. Rancangan asal Amar yang hadir ke bilik Hafiz untuk membincangkan tentang tawaran ke Koreanya itu sudah lenyap dibawa bayu malam yang bertiup sayup menerusi jendela utama kamar Hafiz. Keraguannya untuk menerima tawaran ke Korea itu sudah berjaya diterimanya. Kini dia lebih yakin untuk menolak tawaran tersebut dan memilih untuk tetap di sisi Hafiz selamanya.

* * * * * * * * * * * * * * * * *

Mimpi panjang yang dihadapi oleh Farish akibat daripada pengambilan ubat tidur yang diberi oleh Idham sudah menghampir ke penghujungnya. Matanya mula terbuka dan berkedip perlahan-lahan bagi mengawal bukaan anak mata untuk menerima cahaya matahari. Kemudian gegendang telinganya dipalu dengan bunyi bising yang datangnya dari dapur rumahnya itu. Farish menguatkan tubuhnya untuk bangun bagi melihat sendiri siapakah yang membuat bising di dapurnya itu. Langkahnya di atur rapi penuh hemah bagi mengelakkan dirinya dari jatuh tersungkur.

Setelah dia berjaya mengakhiri langkahnya di anak tangga yang terakhir, tubuh Idham jelas kelihatan sedang berdiri di hadapan tempat masak. Tangan Idham ligat menggaul nasi goreng yang panas berbahang di dalam kuali. Aroma nasi goreng kampong yang hampir masak itu berjaya membuatkan perut Farish berkeroncong meminta untuk diisi sesuatu. Ternyata bunyi perut Farish berjaya dikesan Idham. Hampir sahaja Idham tergelak melihat keadaan kusut masai sahabatnya itu. Dia mengerti bahawa sahabatnya sudah lama tidak diberikan masakkan hasil air tangannya. Mungkin kejadian yang berlaku pada Farish ini ada hikmahnya. Jika tidak mungkin dia kurang meluangkan masa dengan sahabatnya itu.

“Dah bangun bro? Ni aku masakkan makanan kegemaran kau. Jom makan!” ajak Idham. Nasi goreng kampong yang sudah siap untuk dimasak itu dikauk masuk ke dalam pinggan besar untuk dihidangkan. Farish melihat nasi goreng itu penuh keghairahan.

“Rajin kau masak untuk aku? Kau tak kerja ke?” soal Farish.

“Kerja tapi aku singgah rumah kau dulu. Nak sarapan dengan kau lah! Nak harapkan kau pergi makan macam ni memang tak lah,” sindiri Idham.

Farish tidak mengendahkan langsung sindiran itu. Perhatiannya hanyalah ke arah nasi goreng kampong yang panas itu. Lantas dia mengambil pinggan dan sudu untuk mengauk makanan itu. Belum sempat Idham berkata apa-apa, nasi goreng itu sudah pun dikunyah gelojoh Farish. Idham hanya mampu menggelengkan kepala sambil melihat gelagat sahabatnya itu. Sejak dia mengenali Idham, perangai gelojoh Farish semasa makan langsung tidak pernah berubah. Walaupun dia berasal dari keluarga yang berada tetapi sikapnya langsung tidak menggambarkan latar belakang keluarganya. Sikap yang ada pada Farish itulah yang membuatkan Idham tidak kekok untuk rapat dengannya.

Sedang leka Farish menikmati makanan tersebut, tiba-tiba hidungnya tertumpu ke arah bauan yang amat dia kenali. Bau tersebut datang dari arah tempat duduknya. Dia lantas bangun dan mendekatkan deria baunya ke arah tempat duduk itu. Idham kehairanan melihat gelagat pelik sahabatnya itu. Farish yang pada awalnya ceria tiba-tiba berubah menjadi berang. Kerutan dahi Farish amat Idham kenali. Jantung Idham serta merta berdegup kencang melihat wajah sahabatnya itu. Farish memandang tajam ke arah sahabatnya itu.

“Amar ada datang sini ke?” soal Farish dengan nada suara yang tinggi.

“Amar? Mana ada dia datang,” bohong Idham. Farish lantas mendekati Idham lalu kolar baju Idham dicengkamnya.

“Lebih baik kau jangan bohong! Aku tahu kerusi tu ada bau perfume yang selalu dia pakai!” tengking Farish. Idham mula rasa serba salah sama ada dia perlu bersikap jujur mahupun tidak. Dia tidak sanggup membohongi sahabatnya sendiri dan dalam masa yang sama dia tidak mahu membahayakan keselamatan Amar.

“Ya Allah apa yang patut aku buat nih?” keluh hati Idham.

BERSAMBUNG

MARATHON BUKAN UTK AMAR

P/S: Maaf sebab lambat post! Busy sangat sekarang! Sorry sangat2 kerana buat anda semua tertunggu-tunggu 😥

Advertisements

10 thoughts on “BUKAN UNTUK AMAR (Bab 19)

  1. 01125532348…
    cerita yg sgt menarik…
    tuan tanah please let me know bile dah update episod baru…
    harap sgt…
    trima kaseh…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s