BUKAN UNTUK AMAR (Bab 26)

Be-Yourself-No-Matter-What

WATAK SAMPINGAN DLM BAB 26

Datin Hamidah – Ibu kepada Hafiz


Biarpun malam semakin tua, Amar masih segar mengadap skrin komputer riba miliknya. Tangannya semakin lama semakin ligat menari-nari menekan butang kekunci yang tersusun rapi di atas komputer ribanya. Sudah menjadi asam garam seorang penulis blog, malam-malamnya pasti diisi dengan mengemaskini blog dengan terbitan terbaharu. Walaupun Amar sibuk dengan pengajiannya, ianya tidak menjadi halangan untuknya terus aktif dalam bidang penulisan. Tidak hairanlah namanya semakin sinonim dengan pembaca di Malaysia.

Topik yang menjadi tarikan utama dalam terbitannya kali ini ialah “Genofobia”. Sejenis fobia yang menghantui segelintir individu di seluruh dunia. Secara definisinya Genofobia merupakan ketakutan fizikal dan psikologi terhadap hubungan seksual. Jadi secara tidak langsung penghidap penyakit ini sudah pasti pernah mengalami perisitiwa hitam dalam hidup mereka seperti dirogol, diliwat dan sebagainya. Amar turut tidak terkecuali menjadi salah seorang penghidap penyakit psikologi ini.

Tragedi 3 tahun lalu tidak pernah hilang dari ingatannya walaupun sedetik. Kesakitan dan penderitaan yang dihadapi hanya ditanggung sendiri. Semuanya disebabkan oleh kekejaman Farish dan seniornya yang sanggup meliwatnya tanpa menghiraukan kesakitan yang dirasai atas alasan Amar tidak mahu membalas cinta Farish. Jika dikenang peristiwa itu, Amar masih boleh merasai bertapa ngilu dan pedihnya alur dubur yang dirodok dengan nafsu.

Kehidupan golongan yang senasib Amar selalu menjadi tempat untuk lelaki bernafsu kuda melepaskan nafsu seraka. Ada kala Amar kecewa mengapa wujudnya naluri sebegitu. Mungkin benar kata orang, kehidupan homoseksual ini hanya berlandaskan nafsu semata-mata. Tetapi mengapa Amar harus menjadi sebahagian daripada golongan ini? Dan mengapa dia yang perlu terseksa menahan kesakitan daripada hubungan seksual itu?

Tidak dapat dinafikan Amar juga seorang lelaki, pasti ada juga nafsu terhadap kaum sejenis sama seperti golongan senasibnya. Namun, membuatkan pasangan menderita melalui hubungan seks adalah tidak wajar sama sekali. Kata orang seks itu tanda kasih sayang antara pasangan jadi mengapa harus menyakiti pasangan? Bukan hanya dalam golongan homoseksual malah dalam hubungan heteroseksual juga tidak terkecuali. Amar berasa sungguh teruja mengetengahkan topik yang baginya sangat berguna untuk pengetahuan umum.

Sementara itu, jiwa Amar dibelenggu dengan anasir lain. Hubungan seksual? Kata-kata Hafiz kepadanya sebelum ini membuatkan jiwanya sedikit gementar.

 

“Pagi ni abang lepaskan Am, tapi malam ni Am milik abang. Faham!” bisik Hafiz dengan nada tegas tetapi tetap menggoda.

 

Adakah malam yang dimaksudkan itu adalah malam ini? Adakah Hafiz akan memperlakukan dirinya seperti mana Farish lakukan padanya 3 tahun lalu? Adakah ini cara untuk Amar buktikan cintanya kepada Hafiz? Mampukah dia menahan kesakitan semasa hubungan seksual? Bagaimana pula dengan prinsipnya? Serabut kepala Amar dengan soalan-soalan yang belum pasti jawapannya. Jantungnya berdegup kencang apabila memikirkan perkara itu

Pada awalnya Amar tidak mahu hubungannya dengan Hafiz dicemari dengan perkara kotor tersebut tetapi Amar tidak mampu membohongi nafsunya dari terus tertarik pada Hafiz. Mungkin bunyinya tidak masuk akal hubungan sejenis tanpa seks tetapi Amar tetap berkeras untuk mengekalkan kesucian hubungan mereka berdua. Tetapi mampukah dia? Baginya Hafiz cukup menggoda dan memenuhi citarasanya, dari tubuh hingga kepada layanan Hafiz. Semuanya menjadi igauannya.

“Tuk tuk!” bunyi pintu bilik diketuk. Tersentak Amar dari lamunannya, kecut perutnya mengenang siapa yang mengetuk pintu biliknya pada lewat malam ini. Belum sempat Amar bangun dari tempat duduknya, pintu itu dibuka seseorang. Kelihatan kelibat Hafiz tidak berbaju disebalik pintu itu.

“Am tak tidur lagi?” soal Hafiz sambil berjalan menghampiri Amar. Amar hanya mengangguk kepala kerana lidahnya sudah mati di sebalik bibirnya.

“Update blog ke?” soal Hafiz lagi. Bahu Amar diusapnya penuh kasih sayang sambil melihat skrin komputer riba yang masih terbuka.

“Yup, baru habis ni,” jawab Amar ringkas. Air liurnya ditelan kesat. Belaian Hafiz pada bahunya seperti satu sihir yang berjaya menggoda nafsunya untuk bangkit.

“Rajin sayang abang ni. Sini abang cium sikit,” belum sempat Amar menepis, bibir Hafiz sudah menyentuh pipi kanan Amar. Amar hanya merelakanya. Tidak lama kemudian Hafiz melepaskan kucupan itu.

“Kalau macam tu jom tidur?” pujuk Hafiz.

“Abang tidurlah dulu?” cadang Amar. Hafiz tersenyum mendengar cadangan Amar. Perlahan-lahan dia merapatkan wajahnya ke pipi Amar lalu dikucupnya lagi. Amar hanya duduk membatu merelakan Hafiz mengucup pipinya buat kali kedua.

“Boleh abang nak tidur dengan sayang? Untuk malam ni… dan mungkin untuk malam yang seterusnya?” bisik Hafiz menggoda. Naluri lelaki Amar terpanah dengan ayat manis Hafiz yang baginya sudah cukup berkuasa menguasai fikirannya.

“Aaa…aaa” jawab Amar tergagap-gagap.

Hafiz bertambah berani mengucup dan menghidu bahagian leher Amar. Pada awalnya Amar seperti menolak kerana berasa geli di bahagian itu tetapi lama kelamaan ianya menjadi satu kenikmatan yang tidak terhingga. Hafiz yakin Amar mula selesa dengan sentuhan bahagian-bahagian erotik yang mampu memberikan stimulasi kepada Amar. Perbuatan itu diulangi beberapa kali. Dalam masa yang sama tangan kanan Hafiz perlahan-lahan menutup komputer riba milik Amar. Ketika itu Amar tidak sedar, dirinya seperti sudah jauh pergi menikmati belaian kasih Hafiz.

“Abang suka bau sayang, It’s so erotic,” puji Hafiz. Amar hanya mampu tersenyum malu. Pipinya mula menampakkan warna kemerah-merahan dek pujian dari buah hatinya.

“Look at your face. Merah sungguh,” puji Hafiz lagi. Belum sempat Amar menjawab, Hafiz bertindak berani mengucup bibir Amar. Mata Amar membola ketika kali pertama bibirnya dikucup oleh seorang lelaki. Belum pernah bibirnya dikucup oleh sesiapa pun dan malam ini Hafiz menjadi yang pertama.

“Stop abang, please stop kissing me,” rayu Amar teragak-agak. Hafiz berhenti seketika, memberi peluang Amar untuk berbicara.

“But your lips, urmm yummy,” puji Hafiz lagi. Amar menjadi serba salah menolak kucupan ikhlas dari Hafiz. Bohong jika dia katakan dia tidak suka diperlakukan sedemikian, cuma ini kali pertama dan kekok untuk dia menerima semua ini.

“Yeah, but I not ready for this,” jawab Amar serba-salah.

Hafiz berhenti dari terus mengucup Amar. Hafiz lantas memusingkan kerusi yang diduduki Amar itu ke arah tempat dia berdiri. Dengan rendah diri, Hafiz melutut menghadap Amar. Amar terkesima dan tertarik melihat bertapa sasanya tubuh Hafiz, sungguh maskulin lelaki yang melutut dihadapannya itu. Tangan Amar diusap Hafiz beberapa kali seperti sedang memujuk Amar. Amar menjadi serba salah. Dia hanya mampu memerhati perbuatan Hafiz yang baginya sungguh romantik.

“Tak pe, abang tak paksa,” jawab Hafiz ringkas sambil menghadiahkan senyuman.

Dia mengucup kedua-dua belah tangan Amar sebelum melangkah pergi. Amar terkejut dengan tindakkan Hafiz yang cuba meninggalkannya. Lantas dia bangun dari kerusinya dan terus memeluk tubuh kekar Hafiz sekuat hati. Secara tiba-tiba air matanya mengalir tanpa diduga. Hatinya rasa pedih kerana menyangka kata-katanya tadi pasti mengguris hati lelaki Hafiz. Hafiz terharu melihat perbuatan Amar yang baginya sungguh bermakna.

“I’m sorry abang. Am tak maksudkan macam tu, please don’t leave me alone,” pujuk Amar. Air matanya berjujurai membasahi pipinya tanpa henti. Hafiz memegang wajah lembut Amar lalu dikesat air mata dari terus mengalir.

“Abang tak kan tinggalkan Am. Dah jangan nangis lagi, abang ada dekat sini,” pujuk Hafiz lagi. Ternyata Amar sungguh manja dengannya dan mungkin Amar berasa serba salah kerana “menolaknya” tadi.

“Am sayangkan abang sangat, Am minta maaf sebab tak..” belum sempat Amar menghabiskan kata-katanya, Hafiz langsung meletakkan jari telunjuknya ke atas bibir Amar. Amar terdiam.

“Abang cintakan Am sepenuh hati abang kerana Am dan bukan sebab lain. Jadi janganlah risau,” jawab Hafiz sambil tersenyum manis. Amar mendengar penuh teliti jawapan Hafiz, matanya tidak lekang menatap wajah Hafiz yang langsung tidak menunjukkan sebarang kekecewaan.

“Terima kasih abang, saranghaeyo,” jawab Amar sambil memeluk erat tubuh Hafiz.

“Saranghaeyo! Eh sempat lagi korea dia lagi?” perli Hafiz. Amar tergelak, belakang Hafiz dipukulnya manja.

“Mestilah!” jawab Amar ringkas.

“Tapi abang boleh tidur dengan Am kan?” soal Hafiz. Amar melepaskan pelukan Hafiz apabila mendengar soalan Hafiz.

“Boleh sayang,” jawab Amar manja. Hafiz lantas memeluknya erat.

 

* * * * * * * * * *

 

Ternyata masa berlalu sangat pantas, kini sudah tiba masanya Amar akan mempromosikan buku terbaharunya melalui sebuah rancangan temu bual terbitan RTM di Angkasapuri. Mujur lokasinya berdekatan dengan universiti tempat dia belajar, jadi tidak menjadi masalah untuk Amar pulang semula ke kolej untuk sesi kuliah. Memandangkan Hafiz sibuk dengan ujian, maka dia hanya menghantar Amar ditemani Danish ke Angkasapuri dan mereka berdua terpaksa pulang sendiri dengan menaiki teksi.

Hafiz agak berat meninggalkan Amar begitu sahaja namun halangan membataskan dirinya untuk terus berada di sisi Amar. Mungkin dia perlu menyerahkan tanggungjawabnya menjaga Amar kepada Danish yang baginya sangat boleh dipercayai. Setiba di RTM Angkasapuri, Hafiz sempat memberikan kata-kata semangat kepada Amar sebelum melangkah pergi meninggalkan Amar bersama Danish buat seketika.

“Am, abang minta maaf sebab tak dapat temankan Am hari ni. Abang sepatutnya tak sepatutnya buat macam ni,” ucap Hafiz serba salah.

“Am ok je lah abang, jangan risau Danish ada. Walaupun abang tak ada di mata, tapi abang sentiasa di hati,” jawab Amar yang cuba menenangkan Hafiz yang kelihatan hampa.

“Jangan risaulah aku akan jaga Am ni elok-elok. Kau tu ada test penting, setakat Am ni aku pun boleh tengok-tengokkan,” Danish mencelah dan membahasakan dirinya “aku” dengan Hafiz. Dia lebih selesa sebegitu kerana baginya penggunaan “abang” dan “adik” itu akan mewujudkan jurang usia antara mereka berdua.

“Betul tu abang, lagi pun Am kan pakai cardigan yang abang belikan so maksudnya abang pun ada dekat dengan Am juga kan?” jawab Amar lagi. Kali ini jawapan yang diberikan Amar sedikit melegakan hati Hafiz. Dia tidak patut risau dan seharusnya dia gembira kerana lelaki yang disayanginya itu akan mengukir nama dalam dunia sastera tidak lama lagi.

“Ya lah kalau macam tu. Tapi janji lepas je habis interview terus balik kolej ok?” arah Hafiz serius.

“Ok, ” jawab Amar ringkas.

Danish hanya memerhati perbualan mereka berdua, dia tidak mahu kacau daun orang yang sedang bercinta. Walaupun dia bukanlah seperti Amar dan Hafiz tetapi sejujurnya dia amat tertarik dengan kemesraan mereka berdua. Sepanjang dia bekerja sebagai money boy, belum pernah dia melihat pasangan kekasih yang mesra dan setia seperti Amar dan Hafiz. Sebaliknya, seks dan wang menjadi taruhan dalam hubungan.

Danish juga tidak terkecuali hanyut dalam kemewahan apabila dibela oleh golongan hartawan. Perkara yang perlu dilakukan hanyalah melayan nafsu tuannya dan kemewahan akan menjadi miliknya. Pada awalnya agak sukar untuknya melayan nafsu songsang seorang lelaki kerana dia semenangnya bukan golongan homoseksual. Tetapi disebabkan wang dia hilang pedoman dan identitinya yang sebenarnya. Dari perasaan jijik bertukar kepada nikmat yang tidak terhingga.

“Weh Danish, kau tengok apa tuh?” soal Hafiz yang sedar Danish leka memandang mereka berdua.

“Ehh tak de pape, aku cuma suka tengok kau dengan Am. Sweet semacam entah kenapa,” puji Danish sambil tersenyum. Hafiz dan Amar yang mendengar hanya mampu membalas senyuman Danish, masing-masing tidak tahu ingin menjawab apa. Mungkin benar kata Danish itu, mereka berdua sangat manis dipandang dan mungkin serasi seperti pinang dibelah dua saling melengkapi antara satu sama lain.

“Ok lah abang pergi dulu sayang, good luck!” ucap Hafiz sebelum meninggalkan Amar bersama Danish.

“Thanks abang, bye!” jerit Amar dari jauh. Kereta Hafiz sudah hilang dari pandangan.

“Ok jom Am, kau dah ready?” soal Danish penuh semangat sambil menghulurkan topeng wajah berwarna putih di mana bentuknya hanya menutupi sebahagian wajah jika dipakai.

“I’m ready!” Amar mengambil topeng itu lalu dipakai pada wajahnya. Danish hanya tersenyum melihat wajah Amar yang baginya topeng itu sungguh padan dengan wajah Amar.

 

* * * * * * * * *

Studio 2, Wisma TV, Angkasapuri menjadi lokasi Amar untuk pengambaran sebuah rancangan bual bicara terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di seluruh Malaysia. Gemuruh juga hati Amar apabila dia perlu berhadapan dengan kamera walaupun wajahnya tersembunyi disebalik topeng. Banyak mata-mata kru pengambaran memandang aneh ke arahnya. Tapi apakan daya ini sahaja cara yang terbaik untuknya melindungi identiti sebenarnya. Danish hanya tergelak melihat keadaan Amar.

“Kau kenapa Danish, asyik gelak je,” soal Amar sambil menjeling tajam ke anak mata Danish.

“Bukan apa cuma kau nampak sesuai sangat dengan topeng ni. Handsome semacam aku tengok, macam Encik Mimpi pun ada,” jawab Danish panjang lebar. Namun gelak ketawanya masih belum berhenti.

“Ini  semua sebab idea pelik kau lah. Tengok orang dah usha pelik,” rungut Amar sambil matanya memerhati orang sekeliling.

“Hai, ni AJ ke? Penulis novel tu?” soal lelaki berusia lingkungan lewat 20an yang tiba-tiba muncul dari belakang tempat mereka berdua duduk. Dari gaya pemakaiannya kelihatan sungguh kemas dan formal persis seorang pengacara.

“Ya saya, saya AJ,” jawab Amar sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Salamnya disambut mesra oleh pengacara lelaki itu.

“Lepas ni kita akan on air, jadi bersedia ya?” kata pengacara lelaki itu.

“Oh ya ke? Ok terima kasih,” jawab Amar ringkas tetapi hatinya bertambah gemuruh kerana tidak lama lagi seluruh Malaysia akan mengenali siapa sebenarnya pemilik nama pena, AJ.

“Sama-sama, by the way saya pun peminat awak juga tau,” jawab pengacara lelaki itu lagi. Sempat dia menghadiahkan senyuman menggoda ke arah Amar. Amar membalas senyuman itu dengan hati yang ragu-ragu. Pengacara lelaki itu pergi meninggalkan mereka berdua menuju ke bilik persolekan untuk bersiap.

“Wah Am kau dah ada peminat, handsome lagi tu,” usik Danish.

“Ish kau ni, biarlah dia,” jawab Amar mahu tidak mahu. Dia malas memikirkan benda yang tak penting.

Selang beberapa minit, kru pengambaran mula memberikan isyarat di mana semua perlu bersedia untuk siaran langsung itu. Amar mula beralih untuk mengambil tempat di set ruangan bual biacara bersama-sama dengan pengacara rancangan itu. Lelaki yang menegurnya tadi merupakan pengacara yang bakal menemu bualnya bagi mempromosikan novel terbaru yang dihasilkan. Amar berusaha untuk bertenang dan membuang semua rasa gementar mahupun gemuruh kerana kurang dari seminit semuanya akan bermula.

“Ready! Five second, four, three, two, one,” jerit kru pengambaran. Kesemua lighting mula terbuka memancar seluruh ruangan set.

“Assalamualaikum, salam sejahtera. Kembali semula bersama dengan saya, Yusri pengacara anda yang akan menemani anda selama satu jam bagi berkongsi pelbagai informasi terkini untuk tatapan anda semua. Pagi ini saya tidak keseorangan kerana bersama-sama dengan saya pagi ini adalah seorang penulis muda yang mula mengukir nama dalam dunia penulisan, siapa lagi kalau bukan saudara AJ. Selamat datang!” kata pengacara itu.

“Terima kasih,” jawab Amar ringkas. Dia cuba untuk menyorokkan rasa kekoknya. Danish sempat menghadiahkan senyuman kepada Amar dari jauh.

“Biasa kita lihat penulis kebanyakkannya tiada masalah untuk tunjukkan wajah mereka yang sebenar kepada peminat karya mereka tetapi sebaliknya awak berbeza, kenapa memilih untuk tampil begini?” soal pengacara itu.

“Sebenarnya saya lebih selesa pembaca semua mengenali AJ sebagai seorang lelaki yang tidak mahu identiti sebenarnya diketahui. Lagi pun saya masih muda dan masih banyak perkara yang perlu saya hadapi di masa hadapan. Jadi saya memilih untuk bertopeng,” jawab Amar bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Kalau di luar pula macam mana? Adakah tetap bertopeng? Bagaimana peminat AJ nak kenal dengan AJ,” soal pengacara yang bernama Yusri itu lagi.

“Saya cuma akan pakai bila ada temu bual macam ni atau urusan berkaitan dengan novel saya. Soal peminat yang nak kenal saya, mudah je sebab mereka boleh berinteraksi dengan saya melalui facebook dan twitter,” jawab Amar lagi.

“Sangat perahsia penulis muda ini. Baiklah saya dimaklumkan AJ masih lagi belajar di Universiti Malaya, jadi bagaimana agaknya AJ menguruskan masa belajar dengan menulis? Pasti susah kan?” soal pengacara itu lagi. Kali ini nada suaranya sedikit teruja untuk mengetahui jawapan Amar.

“Pada awalnya memang sukar tapi lama-lama ok lah. Saya biasanya gunakan masa hujung minggu saya untuk menulis jadi tidaklah terlalu menggangu pelajaran saya.”

“Baiklah novel terbaru yang bertajuk Homofobia ini dikatakan bakal berada dipasaran, mungkin AJ boleh kongsikan sedikit apakah perjalanan cerita ini?”

“Cerita ini berkisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Rayyan yang hidup dalam keadaan dibenci dan dihina kerana dia homoseksual atau lebih mudah dipanggil gay. Rayyan cuba untuk berubah tetapi setelah bertemu dengan seorang lelaki yang berjaya menambat hatinya, niatnya seperti semakin dilupakan. Rayyan sanggup meninggalkan keluarganya dan membelakangkan agamanya demi cintanya pada lelaki yang dicintainya. Namun, kebahagiaannya tidak kekal lama bila dia didapati menghidap HIV yang dibawa oleh pasangannya. Ketika itulah Rayyan baru sedar akan segala-galanya dan ikutilah cerita selanjutnya dengan mendapatkan buku Homofobia di pasaran mulai esok secara eksklusif dengan tanda tangan penulis di MPH Mid Valley. Saya yakin anda semua akan teruja untuk meneroka kehidupan golongan ini,” terang Amar panjang lebar.

 “Bagi saya AJ sangat luar biasa kerana berjaya menghasilkan karya yang bagi saya agak berat untuk remaja seusia awak. Jadi dari mana datangnya kekuatan dan idea untuk menulis novel ini?”

“Memang betul topik ini sangat berat terutama sekali di Malaysia. Tujuan saya menghasilkan karya ini adalah untuk membuka mata semua pembaca di Malaysia agar sedar akan kewujudan gologan homoseksual ini dan bagaimana kehidupan mereka. Sebenarnya golongan ini amat memerlukan sokongan dan dorongan kita semua untuk berubah kerana perubahan itu amat sukar. Sebaliknya kita selalu menindas dan menunding jari ke arah mereka terutama sekali bagi mereka yang beragama Islam. Jadi saya berharap agar peminat novel dapatkan novel ini dan terokailah kehidupan sebenar golongan ini kerana mereka sangat istimewa,” terang Amar lagi.

“Baiklah, bagi peminat novel jangan lepaskan peluang untuk dapatkan novel terbaru hasil karya AJ dan bertemu dengan penulisnya di MPH Mid Valley esok. Jadi jangan lepaskan peluang keemasan ini. Baiklah kita berehat seketika dan kembali selepas ini dengan lebih banyak infomasi terkini khas untuk anda,” kata pengacara itu bagi memberi laluan untuk iklan.

 

* * * * * * * * *

Hati Idham tidak tenang apabila panggilannya tidak dijawab oleh Farish sejak malam di mana Farish tiba-tiba pergi meninggalkan rumah Idham tanpa memberitahunya. Jika Mak Mah tidak memberitahu kehadiran Farish sudah pasti dia sendiri tidak tahu akan kehadiran sahabatnya itu. Selalunya Farish hadir kerumahnya atas sebab-sebab tertentu sama ada ingin berkongsi masalah atau sebagainya. Idham sudah masak dengan sikap Farish yang selalu melakukan perkara yang akan membahayakan dirinya sendiri jika dia tertekan. Oleh itu Idham membuat keputusan untuk datang ke rumah Farish untuk memastikan keadaan sahabatnya itu.

“Assalamualaikum, Farish!” panggil Idham.

Beberapa kali salam diberi tetapi langsung tidak berjawab. Idham mula tidak sedap hati kerana kenderaan milik Farish ada dirumah dan itu bermaksud Farish ada di dalam. Idham memberanikan diri memusingkan tombol pintu rumah Farish. Seperti yang dijangka, pintu rumahnya tidak berkunci. Idham segera masuk untuk mendapatkan Farish. Dari ruang tamu sehinggalah ke dapur, jasad Farish langsung tidak kelihatan.

“Mana dia pergi ni?” bisik hati Idham resah.

Bilik tidur. Itulah satu-satunya tempat yang masih belum diperiksa lagi. Mungkin Farish berada dalam bilik tidurnya. Idham menaiki tangga menuju ke bilik tidur Farish yang berada di aras atas. Sepanjang Idham menaiki tangga, jantungnya berdegup kencang seperti memberi petunjuk bahawa ada sesuatu yang tidak baik berlaku pada sahabatnya itu. Kini Idham sudah tiba di hadapan bilik Farish, perlahan-lahan dia menarik nafas yang dalam bagi menenangkan hatinya yang resah semacam. Setelah jiwanya cukup tenang, dia menguak pintu bilik Farish.

“Farish!” jerit Idham terkejut melihat keadaan Farish di dalam bilik tidurnya.

Sukar untuk dia mempercayai apa yang dilihat dengan matanya sendiri. Jantungnya hampir gugur melihat Farish terlantar di atas lantai dan kelihatan butiran ubat-ubatan yang terkeluar dari botolnya bertaburan berdekatan dengan tempat Farish terlantar. Idham segera mendapatkan Farish yang terbaring seperti tidak bernyawa.

“Farish, bangun Farish. Kau dah kenapa ni? Bangun Farish!” jerit Idham beberapa kali.

Digoncang-goncang tubuh sahabatnya itu tetapi tiada respond. Air mata Idham mula menitis akibat terlalu bimbang melihat keadaan Farish. Masih bernyawa atau tidak sahabatnya itu. Tanpa berfikir panjang dia memapah sahabatnya itu ke kereta untuk dikejarkan ke hospital. Sempat dia mengambil botol dan ubat yang bertaburan dilantai untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan kepastian mengenai ubatan itu.

 

* * * * * * * * *

“Macam mana tadi? Ok tak? Gementar tak depan kamera?” soal Hafiz bersungguh-sungguh di meja makan. Amar yang sedang mengunyah makanan tiba-tiba tersedak dengan pertanyaan itu. Datin Hamidah yang turut serta makan bersama memandang tajam ke arah Hafiz.

“Hafiz, kalau ya pun tunggulah Amar habis makan dulu, tengok dah nak tersedak dia,” nasihat Datin Hamidah kepada anaknya. Danish dan Amar hanya tersenyum melihat Hafiz.

“Maaf ibu, Hafiz cuma nak tahu je. Lagi pun tadi Hafiz tak dapat teman Am tadi, nasib ada Danish,” jawab Hafiz dengan nada sopan. Ibunya hanya mendiamkan diri apabila mendengar jawapan anaknya itu. Mungkin anaknya terlalu teruja dengan Amar.

“Alhamdulillah, semuanya ok. Mula-mula memang gementar juga sebab siaran langsung kan, tapi lama-lama ok lah sikit,” Amar yang dari tadi membisu mula bersuara.

“Biasalah tu tapi lepas ni kena lah biasakan?” kata Datin Hamidah.

“Kenapa pula ibu?” soal Hafiz kehairanan.

“Sebab lepas ni mesti Am akan banyak masuk tv lagi,” Danish menyampuk. Datin Hamidah mengganguk tanda setuju dengan jawapan Danish.

“Eh tak de lah, Am masih baru lagi dalam dunia penulisan ni. Tak ada lah sampai masuk tv selalu,” jawab Amar merendah diri.

“Ya lah tu, lepas ni mesti famous kan. Abang bangga dengan Am,” Hafiz mengusap lembut bahu Amar.

Datin Hamidah hanya memerhati mereka berdua. Keakraban Hafiz dan Amar memang tidak mampu disangkal. Ternyata anaknya begitu rapat dan sayang dengan Amar. Mungkin disebabkan Hafiz anak tunggal dan tidak pernah mempunyai adik. Sejak kehadiran Amar di rumahnya, dia melihat hidup Hafiz lebih ceria berbanding sebelumnya. Namun kebenaran sebenarnya masih belum diketahui ibunya bahawa mereka mempunyai hubungan lebih istimewa dari itu. Hubungan terlarang.

“Ok lah, nak pegi mandi dulu lah. Tak selesa badan ni,” kata Hafiz lalu membawa diri untuk bersihkan diri.

Suasana meja makan sunyi seketika. Hanya kedengaran bunyi sudu dan garfu yang dipegang Amar, Danish dan Datin Hamidah yang masih duduk menikmati juadah petang yang sememangnya menyelerakan. Amar dan Danish seperti biasa akan membisu kerana tidak tahu apa yang ingin dibualkan. Seperti biasa Datin Hamidah akan memulakan bicara.

“Am dengan Hafiz ni dah berapa lama kenal?” soal Datin Hamidah. Amar sedikit tersentap dengan soalan itu. Bukan apa cuma dia hairan dengan ibu Hafiz, seperti ingin mengorek rahsia. Danish sempat menjeling ke arah Amar kerana dia mengerti apa yang dirasa Amar.

“Oh, sejak masa masuk PASUM dulu, kebetulan terjumpa dengan abang Hafiz. Lepas tu terus rapat,” jawab Amar jujur.

“Kiranya baru juga lah ya tapi Hafiz rapat betul dengan kamu. Aunty tengok dia happy je bila dengan kamu, kadang-kadang aunty tengok kamu berdua ni dah macam adik beradik” kata Datin Hamidah mesra. Amar hanya mengangguk.

“Kalaulah aunty tak keguguran dulu mesti adik Hafiz sebaya dengan kamu,” sambung Datin Hamidah lagi. Kali ini suaranya syahdu sungguh. Amar dan Danish masing-masing berpandangan antara satu sama lain.

“Keguguran?” soal Amar prihatin. Datin Hamidah hanya mengangguk.

“Mungkin bukan rezeki Hafiz dapat adik, Allah lebih sayangkan dia.” tambah Amar. Datin Hamidah tersenyum mendengar kata-kata Amar.

“Tak pe aunty, Amar kan ada,” Danish menyampuk.

“Betul kata Danish tu, aunty bersyukur sangat sebab Amar ada,” kata Datin Hamidah lagi.

“Kalaulah mak Hafiz ni tahu hubungan sebenar aku dengan Hafiz apa jadi agaknya ya?” bisik hati Amar. Dia mula mengelamun memikirkan apakah kemungkinan yang berlaku jika hubungan mereka berjaya dihidu oleh keluarga Hafiz dan mungkin keluarga Amar juga.

“Mengelamun apa tuh?” soal Datin Hamidah yang menyedari keadaan Amar seperti memikirkan sesuatu.

“Eh tak ada apa-apa aunty,” Amar tergagap-gagap menjawab.

“Aunty nak tanya sikit boleh tak?”

“Boleh.”

“Hafiz tu dah ada kawan istimewa ke?”

“Kawan istimewa? Maksud aunty?” Amar kehairanan.

“Maksud aunty Hafiz tu dah ada girlfriend? Bukan apa aunty risau tengok Hafiz tu, sejak dulu sampai sekarang tak pernah ada girlfriend. Takut nanti susah nak cari calon pula, umur semakin meningkat.” Kata-kata Datin Hamidah seperti memberi tamparan besar kepada Amar. Danish turut terkesan dengan kata-kata Datin Hamidah. Beberapa kali Danish memandang Amar seperti memberi isyarat agar Amar bertenang menjawab soalan ibu Hafiz.

“Saya tak pasti aunty sebab Hafiz tak pernah pula cerita apa-apa dekat saya,” jawab Amar yang berusaha menyorokkan kebenaran.

“Oh, Am ingat lagi tak kawan aunty yang pernah datang rumah ni?”

“Ingat, kenapa ya aunty?”

“Sebenarnya sejak dulu lagi aunty nak jodohkan Hafiz tu dengan anak kawan aunty, Husna yang datang sekali tu, bertambah cantik aunty tengok Husna tu. Bukan sekadar cantik je, baik pula tu. Berkenan sungguh aunty dengan dia. Sejuk mata memandang. Jadi apa pendapat kamu Am? Rasa-rasanya sesuai tak mereka berdua?” terang Datin Hamidah panjang lebar. Amar hanya mendiamkan diri tidak tahu mahu memberi respond apa lagi.

“Bukan apa, Am, Hafiz tu satu-satunya anak aunty dan aunty berharap sangat dia berkahwin dengan wanita yang baik dan mampu menjaga anak aunty sebaik mungkin dan menjadi ibu yang baik kepada cucu aunty nanti,” sambung Datin Hamidah lagi.

“Ahh..tak..ehh maksud saya mustahil tak sesuai. Ya lah kan, Hafiz tu handsome, Husna pula cantik jadi memang padan sangat,” jawab Amar berat.

“Betul ke? Aunty pun fikir macam tu,” jawab Datin Hamidah ceria mendengar pendapat Amar.

Hati Amar seperti dicarik-carik hingga ke cebisan terakhir apabila mengetahui niat sebenar Datin Hamidah yang ingin menjodohkan Hafiz dengan Husna. Hati kecilnya memang benar, kehadiran keluarga Husna sebelum ini bukanlah kunjungan biasa. Sebaliknya dua keluarga ini memang sudah berniat untuk menjodohkan Hafiz dengan Husna. Amar sudah buntu, apa akan terjadi dengan hubungan mereka berdua ini? Adakah Hafiz sudah mengetahui niat ibunya? Mengapa di saat mereka baru sahaja ingin menikmati kemanisan cinta, hadir pula halangan yang akan meruntuhkan hubungan mereka.

“Am, aunty tahu kamu rapat dengan Hafiz kan? Aunty nak minta tolong sangat dekat kamu, boleh tak kalau kamu tolong rapatkan hubungan Hafiz dengan Husna? Boleh tak Am? Aunty berharap sangat dekat Am,” sambung Datin Hamidah. Kali ini Amar tidak mampu berkata apa lagi. Kalau ikutkan hatinya ingin sahaja dia memberitahu perkara sebenar mengenai hubungannya dengan Hafiz. Tapi ianya akan memburukkan lagi keadaan.

“Tapi aunty, Hafiz..aduh!” Danish mula menyampuk tetapi kata-katanya terhenti apabila kakinya disepak Amar.

“InsyaAllah aunty, nanti saya cuba,” jawab Amar ringkas.

“Terima kasih banyak-banyak, Am. Kamu memang baik, untung ibu bapa kamu lahirkan kamu, Am,” puji Datin Hamidah gembira.

Senyumannya tidak lekang sambil melihat Amar yang turut tersenyum. Walaupun hati Amar berat untuk memberikan jawapan itu tetapi dia tidak mampu menolak permintaan Datin Hamidah yang telah banyak membantunya. Malah, Hafiz satu-satunya anak Datin Hamidah yang paling disayangnya. Jadi sudah pasti terlalu banyak yang dia harapkan dari Hafiz. Amar sedar hubungannya dengan Hafiz tidak akan memberikan faedah kepada keluarga Hafiz. Malah, mereka berdua pasti akan dibenci jika hubungan sebenar mereka terbongkar.

Namun, Amar tidak rela berpisah dengan lelaki yang berjaya melengkapkan hidupnya ini. Rasa cinta yang tiada penghujungnya terhadap Hafiz tidak akan mudah dipadam begitu sahaja. Dia ingin terus bahagia bersama lelaki yang bernama Hafiz selama mana yang mungkin. Kini kehadiran Husna seperti tembok besar yang akan menghalang hubungan Amar dengan Hafiz. Amar sudah buntu, sama ada perlu mempertahankan hubungan ini atau menyerah.

“Kesiannya, Am,” bisik hati Danish.

Danish sangat memahami keadaan Amar. Amar sangat tersepit. Dia pasti keliru sama ada perlu mempertahankan cintanya atau mengorbankan untuk Husna kerana termakan budi keluarga Hafiz. Danish juga mengerti walau sesuci mana cinta Amar kepada Hafiz tetapi tetap akan dipandang hina oleh orang lain yang tidak memahami perasaan mereka.

“Kringgggg..!!” tiba-tiba tablet pintar milik Amar berbunyi tanda panggilan masuk. Danish dan Amar saling berpandangan. Dilihat dari skrin 7inchi tabletnya terpapar nama yang sangat Amar kenali. Tanpa berfikir panjang panggilan itu diterima.

“Apa!” jerit Amar terkejut apabila mendengar kata-kata si pemanggil itu.

“Kenapa ni Am?” soal Danish risau.

BERSAMBUNG

MARATHON BUKAN UTK AMAR

P/S : Maaf sebab lambat post. 😥


ANDA BOLEH BERINTERAKSI DENGAN MR K MENERUSI:

Advertisements

12 thoughts on “BUKAN UNTUK AMAR (Bab 26)

  1. Hai Mr. K! Saya pembaca baru kat sini 😀
    Best lah cerita ni Mr. K, tak sabar nak tunggu sambungan dia. By the way, panjang lagi ke cerita ni? 🙂

    1. Tahniah kerana menjadi salah seorg pembaca blog Mr K 🙂 Thanks ya 🙂 Cerita ni masih panjang lagi harap terus setia dgn blog Mr K ok 🙂

  2. citer ni best… cuma bl nak komen tu, leceh skit… kena taip nama, email… hehehehe…

    tp betol, citer memang best. jalan cerita tu memberi kesan, mudah untuk dihayati.

    1. Saya fhn, saya sendiri pun pening fikir mcm mana nak mudahkn reader bila nak komen. Tp nak buat mcm mana wordpress mmg mcm ni..btw thanks atas pujian itu. Saya akan berusaha utk terus menghasilkan karya yang terbaik. 🙂

  3. Sebenarnya, saya dah mula musykil dengan tajuk cerita ni. tajuk tu macam menunjukkan seseorang tu bukan untuk Amar. Dan firasat saya mengatakan orang tu ialah Hafiz. Tapi saya harap janganlah. Amar dah banyak terseksa.
    Sorrylah kalau comment ni jadi spoiler atau apa. Ini firasat penulis saja. Saya pun penulis juga. Penulis untuk kawan-kawan jelah. Cuma kalau nak tulis cerita2 yang melibatkan homoseksual ni, idea terus hilang and mood nak menulis terus tak ada. Agak-agak boleh bagi tips tak?

    1. Saya faham rafi 🙂 Persepsi awal semua pembaca sama seperti awak. Tapi segalanya akan terjawab di penghujung cerita ini. Nak tips? Saya hanyalah penulis amatur dan kurang berpengalaman tapi kalau nak berkongsi pendapat boleh saja berinteraksi dgn saya melalui twitter, faceboo dan google+(hangout) seperti yg tertera di atas! 🙂

  4. hope amar end up with farish… pendapat saya la… mungkin amar kn terima tawaran idham utk merealisasikan impian mak hafiz… slps tu jumpa farish yg dh berubah…

    sorry mr k … ini hnya impian pembaca… btw crita ni best x puas bca… klo buat novel inde msti laku habis…

    1. Thanks aby 🙂 Maaf sebab lambt buat sambungan. Tengah sibuk dengan study. InsyaAllah akan sambung dalam masa terdekat. Mengenai siapa yg Amar akan pilih semuanya akan terjawab nanti. Mungkin betul apa yang abg cakap tu. Kita tengok nanti 🙂 Thanks sebab follow up cerita ni ^_^

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s