BUKAN UNTUK AMAR (Bab 27)

Be-Yourself-No-Matter-What

 

Watak Sampingan Dalam Bab 27

Bella – sahabat Husna yang selalu menemaninya ke mana sahaja.


 

Hampir sejam Idham berlegar-legar di hadapan wad di mana Farish di tempatkan untuk pemantauan yang rapi. Jiwa Idham langsung tidak tenang memikirkan keadaan Farish yang masih belum pasti status sebenar keadaanya. Malah ubat yang menjadi penyebab Farish tidak sedarkan diri juga masih belum diketahui jenisnya. Dia tidak berhenti menyalahkan dirinya kerana mungkin perkara ini tidak akan terjadi jika dia bertindak lebih awal lagi. Pasti ada sesuatu yang mengganggu emosi sahabatnya, jika tidak sudah pasti Farish tidak akan datang ke rumahnya dan kemudiannya hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang pesanan kepada pembantu rumahnya, Mak Mah.

Suasana di kaki lima wad Farish yang pada awalnya sunyi sepi seperti tidak bernyawa itu tiba-tiba didatangi bunyi telapak kaki yang semakin menghampiri tempat Idham berdiri. Bunyi itu menarik perhatian Idham. Kelihatan tiga individu yang sangat Idham kenali semakin menghampirinya. Dari jauh lagi wajah individu-individu itu kelihatan cemas. Langkah mereka juga agak tergesa-gesa seperti sedang mengejar sesuatu.

“Apa dah jadi dekat abang Farish, bang?” soal Amar termengah-mengah. Turut bersama-samanya Danish dan Hafiz. Sempat dia menoleh ke arah pintu wad Farish, dari luar Amar melihat keadaan Farish yang masih terlantar di atas katil tidak sedarkan diri.

“Kata doktor dia overdose,” jawab Idham ringkas. Matanya memandang redup ke arah Amar. Sempat juga dia menoleh ke arah Danish dah Hafiz yang berdiri tidak jauh di samping Amar.

“Overdose? Maksud abang, abang Farish ambil ubat tidur berlebihan?” Amar terus bertanya tidak puas hati dengan jawapan Idham. Hafiz menggusap belakang tubuh Amar agar kekasihnya lebih bertenang. Idham yang masih membisu cuba mengatur ayat yang sesuai agar Amar mudah menerima berita yang baginya sangat menyayat hati.

“Sebenarnya, Farish…” kata-kata Idham terhenti apabila seorang lelaki berpakaian seperti seorang doktor menghampiri mereka.

“Maafkan saya, boleh saya tahu anda semua siapa?” soal doktor itu.

“Saya adik dia. Maksud saya adik angkat dia,” jawab Amar bernada serius. Hafiz dan Danish masing-masing memandang ke arah Amar.

“Boleh ikut saya ke bilik? Kita bincang di sana nanti,” cadang doktor itu. Beberapa kali doktot itu memandang ke arah Idham dan Amar bagi mendapatkan kerjasama.

 “Abang, Am pergi kejap ya. Nanti Am datang balik, ya?” Hafiz hanya akur dengan permintaan Amar.

“Saya ikut sekali,” Idham bersuara. Doktor mengangguk tanda setuju. Mereka berdua berlalu pergi bersama-sama doktor yang merawat Farish.

Danish hanya memerhati tindak-tanduk Hafiz. Dia sedar akan perubahan riak muka Hafiz. Cemburu. Hafiz cemburu melihat Amar yang terlalu mengambil berat terhadap Farish. Bukan manusia namanya jika tidak wujud sifat cemburu. Walaupun Danish rapat dengan Amar, tetapi dia sendiri juga hairan mengapa Amar masih mengambil berat mengenai Farish. Adakah Amar sudah lupa apa yang pernah Farish lakukan padanya 3 tahun lalu?

* * * * * *

DI BILIK DOKTOR

“Sebenarnya Encik Farish dah ambil antidepressant secara berlebihan. Mujur Encik Idham sempat bawa Encik Farish ke hospital. Kalau tak mungkin kami sebagai doktor tak mampu nak selamatkannya,” terang doktor itu serius.

“Antidepressant? Maksud doktor abang saya *MDD?” soal Amar terkejut apabila mendengar penerangan doktor yang baginya sangat sukar diterima akal. Idham turut tidak terkecuali merasai apa yang dirasai Amar. Namun, Idham masih belum jelas akan maksud singkatan itu.

“MDD?” soal Idham keliru. Soalan Idham menarik perhatian Amar.

“MDD tu short form kepada Major Depressive Disorder,” jawab Amar yang telah mengetahui maksud sebenar MDD. Doktor itu hanya mampu tersenyum melihat kepintaran Amar dalam skop perubatan.

“Jadi kawan saya kemurungan?” Idham terkejut mendengar kebenaran mengenai Farish. Memang sukar untuk Idham menerima berita itu yang baginya sangat tidak masuk akal. Idham kenal rapat dengan Farish sejak sekolah lagi tetapi dia tidak pernah mengetahui masalah yang dihadapi oleh Farish.

“Kalau ikutkan laporan kami, Encik Farish memang penghidap MDD. Tapi kalau boleh saya nak tahu sejak bila dia ambil antidepressant ni? Encik berdua tahu?” soal doktor itu ingin mendapatkan kepastian. Amar dan Idham saling berpandangan. Ternyata masing-masing tidak tahu sejak bila Farish mengambil ubat tersebut.

“Tak mengapa kalau encik berdua tak tahu tapi kalau boleh saya nak berjumpa dengan ahli keluarganya. Boleh?” soal doktor itu lagi.

“Saya dah hubungi ayah dia, nanti dia akan jumpa doktor. Kami minta diri dulu ya doktor?” kata Idham. Doktor hanya mengangguk sambil tersenyum. Amar dan Idham bangun dari tempat duduk masing-masing lalu meninggalkan ruangan itu. Mereka berdua hanya membisu, masing-masing masih sukar menerima berita yang mengejutkan itu.

Amar masih tertanya-tanya soal keadaan Farish. Antidepressant. Jika benar Farish penghidap MDD, apakah penyebabnya dan sejak bila? Secara kasarnya Farish tampak sihat dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda MDD. Menurut pengetahuannya, pesakit yang menghidap MDD biasanya berpunca dari tekanan yang terlalu dasyat yang diterima dalam hidupnya. Mungkin kematian ahli keluarga yang disayangi atau mungkin penderaan ketika zaman kanak-kanak.

“Bang?” Amar memulakan bicara.

“Ya?” Idham yang membisu sejak keluar dari bilik doktor yang merawat sahabatnya itu mula bersuara.

“Dulu abang Farish pernah kena dera ke? Or maybe apa-apa peristiwa yang dasyat berlaku dalam hidup dia sebelum ni?” soal Amar prihatin. Idham berusaha mengingati semula segala perkara yang pernah dikongsikan Farish dengan Idham.

“Farish tu sebenarnya jarang bercerita pasal peribadi dengan abang. Walaupun kami dah lama kenal, tak banyak yang dia kongsikan dengan abang. Tapi seingat abang dulu Farish tertekan sangat selepas kematian ibunya. Dia memang sayang sangat dengan ibu dia, memang ambil masa juga lah dia nak terima hakikat kematian ibu dia. Tapi sekarang dah ok dah,” terang Idham panjang lebar. Amar tersentuh mendengarnya. Siapa sangka lelaki yang pernah dia sayangi sebelum ini pernah menghadapi detik kehilangan orang yang terpenting dalam hidupnya. Iaitu seorang ibu. Pasti sukar untuk Farish mendapatkan semula kekuatan untuk terus hidup tanpa kasih sayang seorang ibu.

“Bila ibu dia meninggal?” soal Amar ingin tahu.

“Tak silap abang selepas…” tiba-tiba lidah Idham kelur. Wajahnya berubah pucat lesi.

“Selepas apa?” soal Amar yang sedar akan perubahan Idham. Idham jadi serba salah untuk meneruskan kata-katanya. Bebola matanya tidak henti-henti memandang ke arah lain. Dia tidak mampu memandang mata Amar yang ternyata sangat menanti jawapannya.

“Selepas kejadian malam tu.” Jawab Idham lemah. Amar tersentap.

Amar langsung tidak tahu-menahu mengenai kematian ibu Farish. Mungkin dia terlalu tertekan dan marah pada Farish ketika itu. Lagi pun selepas kejadian itu, Amar terus berpindah sekolah akibat terlalu malu untuk berhadapan dengan Farish dan seniornya yang turut terlibat dalam kejadian malam itu. Terdetik juga di hati Amar, adakah itu balasan dari tuhan untuk Farish kerana meliwatnya 3 tahun lalu? Walaupun dia membenci Farish tetapi dia tetap bersimpati dengan nasib malang Farish.

* * * * *

Husna tekun menelaah setiap helaian muka surat novel yang dibacanya di ruangan kegemarannya itu iaitu di atas sebuah kerusi sofa yang diletakkan berhadapan jendela. Turut menemaninya beberapa pancaran lampu kecil yang tergantung di siling. Setiap baris-baris penting yang tertulis di hadapan matanya di baca satu persatu. Mungkin jarang dalam kalangan pembaca novel meneliti setiap baris yang ditulis oleh pengarang. Mereka lebih gemar membaca dialog agar novel yang dibaca dapat dihabiskan dengan segera tetapi Husna sebaliknya. Dia lebih gemar membaca setiap perkataan yang ditulis oleh pengarang kerana baginya setiap penulis mempunyai gaya yang tersendiri dalam menyampaikan sesuatu.

Ada penulis yang gemar menggunakan ayat yang gramatis dalam mengilustrasikan sesuatu watak atau keadaan. Ada juga penulis yang lebih bersahaja dalam apa jua perkara dan ada juga penulis yang lebih suka mendalami sesuatu watak secara terperinci sehinggakan pembaca sendiri dapat meramal watak manakah yang menyerupai si penulis. Husna cukup teruja terhadap kepelbagaian gaya penulis dalam penulisan mereka.

Rancangan televisyen yang ditontonnya pagi tadi sedikit sebanyak merangsang jiwanya untuk menulis. Sesi temu bual bersama dengan penulis muda iaitu AJ berjaya menarik minat Husna untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Seorang pelajar berusia 19 tahun mampu menghasilkan karya yang sungguh matang dalam segala segi membuatkan Husna terasa tercabar. Walaupun wajah penulis itu terlindung disebalik topeng yang menutupi sebahagian wajahnya, Husna cukup yakin bahawa dia pernah bertemu dengan penulis itu tetapi kurang pasti di mana dan bila.

Sedang Husna tekun mendalami perjalanan cerita novel yang dibaca, kedengaran pula bunyi telefon pintarnya berdering tanda panggilan masuk. Telefon pintar yang terletak di atas meja kecil yang tidak jauh dari tempat duduknya dicapai. Dari skrin tertera jelas nama si pemanggil, “Bella”. Itulah nama yang tertera di skrin telefon pintarnya. Seorang gadis yang sebaya dengannya malah berkongsi minat yang sama iaitu membaca novel.

“Hello, Assalamualaikum Bella?” Husna memulakan bicara.

“Waalaikumussalam, my dear Husna,” kedengaran suara sahabatnya Bella dari earpiece telefon pintarnya. Husna tersenyum manis mendengar suara ceria Bella. Seorang sahabat yang sangat energetik bagi Husna.

“Kenapa call ni? Mesti nak ajak pergi mana-mana ni?” soal Husna yang sudah masak dengan sikap sahabatnya itu. Asal ke mana sahaja pasti dia akan menghubungi Husna bagi menemaninya ke mana sahaja. Tambahan pula, Bella memang kaki berjalan.

“Macam tau-tau je dia ni. Hihihihi. By the way, Una ada tengok cerita dekat tv tadi, pasal penulis AJ tu?” soal Bella inginkan kepastian. Dia lebih selesa memanggil Husna dengan nama timangan Una. Mudah untuk dipanggil dan comel bunyinya.

“Mestilah, dia kan salah seorang penulis yang kita suka kan?” jawab Husna. Novel yang dibacanya tadi diletakkan ke atas meja berdekatannya bagi memberi laluan untuk bersembang dengan sahabatnya itu.

“Yup, betul sangat lah tu. Tapi Una tau kan esok AJ ada sekali dekat MPH Mid Valley untuk promosi buku baru dia? Jom nak? Nanti Bella ambil dekat rumah,” ajak Bella teruja. Husna sudah menjangka tujuan Bella menghubunginya. Sebenarnya sejak pagi tadi lagi dia sudah berniat untuk pergi tetapi memandangkan dia tidak ada kenderaan untuk pergi.

“Hurmm. Ok set! Jumpa esok tau, jangan lambat tau nanti takut ramai sangat pula,” nasihat Husna.

“Ya lah, darling. See you tomorrow? Bye! Assalamualaikum,” kata Bella ringkas.

“Waalaikumussalam,” jawab Husna penutup bicara. Panggilan lalu ditamatkan.

“Tak sabar nak jumpa penulis misteri tu! Yeahh!” bisik hati Husna teruja. Dia kembali meletakkan telefon pintarnya di atas meja dan kembali membaca novel yang dibacanya tadi.

* * * * *

Sepanjang perjalanan pulang dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hafiz hanya membisu tanpa berkata apa-apa. Amar juga turut membisu kerana terlalu memikirkan keadaan Farish yang amat membimbangkan sehingga dia tidak sedar akan perubahan pada Hafiz. Danish yang duduk di bahagian penumpang hanya membuat hal sendiri, bermain permainan di telefon pintarnya. Masing-masing tidak bersuara apa-apa sehingga tiba ke rumah Hafiz.

“Abang, hari ni Am tidur bilik abang ya?” tanya Amar sambil memegang lengan Hafiz. Hafiz hanya menggangguk lemah lalu melangkah pergi ke biliknya. Danish yang melihat keadaan itu segera mendapatkan Amar.

“Dia cemburu,” bisik Danish di telinga Amar. Berubah terus wajah Amar mendengar kata-kata Danish. Dia lupa untuk menjaga hati kekasihnya kerana terlalu memikirkan keadaan Farish.

“Aku pergi dulu ek?” kata Amar meminta izin untuk berlalu pergi.

Danish hanya membiarkan Amar menyelesaikan masalahnya sendiri. Sudah menjadi adat bercinta. Pasti akan berasa cemburu apabila orang yang kita cintai memberikan perhatian yang lebih kepada orang lain. Lebih-lebih lagi kepada orang yang cuba merebut kekasihnya sendiri. Walaupun ini cinta homoseksual, ianya tetap melibatkan perasaan. Cemburu tetap ada.

Amar yang sudah berada di hadapan pintu bilik Hafiz cuba memberanikan diri untuk membuka pintu yang tertutup rapat itu. Kelihatan Hafiz sudah tidak berbaju terbaring di atas katil berukuran queen sambil menutupi sebahagian tubuhnya dengan selimut. Amar menelan air liur melihat keindahan yang ada pada seluruh tubuh Hafiz. Dia menghampiri Hafiz yang masih terbaring itu, sempat Hafiz menjeling ke arahnya namun langsung tidak bersuara sama seperti di dalam kereta tadi.

“Abang?” Amar memulakan kata. Kini dia sudah duduk bersebelahan Hafiz yang masih terbaring.

“Hurm?” jawab Hafiz sepatah.

“Am nak minta maaf,” tangan Amar membelai lengan kekar Hafiz atas dasar ingin memujuk. Hafiz cuba menahan dari tersenyum melihat perbuatan Amar kerana baginya sangat menggoda.

“Maaf? Untuk apa?” soal Hafiz dengan nada ego. Amar tertunduk apabila mendengar intonansi suara Hafiz seperti sedang memarahinya.

“Am nak minta maaf sebab Am terlalu prihatin pasal abang Farish sampai abaikan abang,” terang Amar jujur.

“Abaikan abang? Abaikan macam mana?” soal Hafiz seperti tidak puas hati. Amar hampir berpeluh kerana bimbang Hafiz tidak mahu memaafkannya. Geli hati Hafiz melihat keadaan Amar yang sangat serba salah dengannya. Memang sengaja Hafiz menyakat Amar kerana Amar nampak sangat comel apabila dia tengah bimbang atau takut.

“Ya lah, tadi kan Am langsung tak cakap dengan abang. Am memang jahat, Am tak patut buat abang macam tu. Tapi Am janji Am tak buat macam tu lagi. Am minta maaf sangat-sangat,” rayu Amar. Tangan kanan Hafiz di ambil lalu diciumnya.

“Tahu takut! Hahahahaha!” gelak Hafiz. Amar terkejut melihat respond Hafiz. Ternyata dia sudah kena tipu dengan kekasihnya.

“Bencilah!” jerit Amar. Dia lantas bangun dari katil Hafiz. Belum sempat dia melangkah pergi, Hafiz pantas merangkulnya dari belakang. Amar berusaha melepaskan dakapan yang sangat kemas dan kuat itu tetapi gagal.

“Abang lepaskan Am lah!” pinta Amar. Hafiz langsung tidak melepaskannya.

“Abang tak kan lepaskan Am selagi abang tak puas peluk Am!” jawab Hafiz berdegil.

“Abang suka buat Am macam ni. Bencilah!” keluh Amar. Hafiz melepaskan dakapannya itu lalu memusingkan tubuh Amar menghadap ke arahnya. Pipi Amar dicubit manja kerana terlalu geram meilhat Amar mencebik.

“Abang suka tengok Am buat muka. Comel! Geram tau abang tengok,” pipi Amar dimain-main menggunakan telapak tangannya. Amar rimas dengan perbuatan Hafiz.

“Abang! Dah lah, sakit tau!” Hafiz berhenti dari mengerjakan pipi Amar apabila dia mengadu kesakitan. Habis merah padam pipinya dikerjakan Hafiz.

“Ok, ok. Abang minta maaf ya sayang,” Hafiz langsung mengucup bibir Amar lama.

Seperti biasa Amar akan berdiri membatu kerana terlalu terkejut dengan perbuatan Hafiz padanya. Kehangatan bibir Hafiz yang menyentuh bibirnya memberikan satu kenikmatan yang sukar untuk dia gambarkan. Tetapi Amar sangat selesa diperlakukan sebegitu. Selang beberapa saat kucupan itu dilepaskan. Mata mereka berdua saling berpandangan seperti sedang berbicara sesuatu.

“Jom?” pelawa Hafiz. Tangan Amar ditariknya menuju ke katil.

“Abang nak buat apa ni?” soal Amar ketakutan. Habis berdegup kencang jantung Amar apabila Hafiz menariknya ke arah katil. Dalam fikirannya sudah memikirkan perkara yang bukan-bukan.

“Nak tidur lah. Tadi kata nak tidur dengan abang kan. Kenapa? Teringin nak rasa ke? Kalau nak rasa abang boleh bagi tapi jangan menjerit lah!” jawab Hafiz nakal.

“Eeeeee! Dah lah, tidur tidur!” Amar langsung mengambil tempatnya baring di atas katil bersebelahan Hafiz.

“Nak peluk boleh?” pinta Hafiz. Belum sempat Amar berkata, Hafiz langsung memeluknya dari belakang. Amar hanya merelakannya. Dakapan Hafiz sangat menyenangkan jiwa Amar. Di tambah pula bau tubuh Hafiz yang sangat maskulin seperti memberi terapi minda Amar supaya lebih mudah untuk lena.

“Good night sayang,” bisik Hafiz ditelinga Amar.

“Good night.”

* * * * *

Hari yang ditunggu akhirnya tiba. Kini Amar yang turut ditemani Hafiz sudah berada di MPH Mid Valley bagi melancarkan buku terbarunya iaitu Homofobia. Bersama-sama dengan mereka, staf sokongan dari syarikat penerbitan dan kedai buku tersebut turut membantu bagi melancarkan lagi sesi bersama penulis dengan pembaca di MPH Mid Valley. Sudah semestinya topeng sentiasa melekat pada wajah Amar agar identitinya tetap menjadi misteri. Ketika itu kehadiran penggunjung masih boleh dikira dengan jari. Mungkin kerana hari itu adalah hari Rabu di mana ramai yang sibuk bekerja.

“Abang? Am nervous lah,” Amar mengadu. Tangannya yang basah lencun itu dilapkan pada seluarnya. Sudah menjadi kebiasaan tangan Amar mudah berpeluh lebih-lebih lagi ketika gementar atau takut. Sindrom ini dikenali sebagai Hyperhydrosis.

“Jangan risau abang ada ni,” Hafiz cuba menenangkan Amar. Belakang tubuh Amar diusapnya beberapa kali agar Amar lebih berasa tenang. Dari jauh Hafiz terlihat salah seorang staf dari syarikat penerbitan memberi isyarat kepada Hafiz menandakan Amar perlu bersedia.

“Am, dorang dah panggil tu. Jom?” ajak Hafiz. Amar memandang ke arah staf yang memberikan isyarat itu. Amar menjadi lebih gementar lagi kerana tidak lama dia akan berhadapan dengan peminat karyanya.

“Sayang, kita kena gerak ke sana sekarang,” ajak Hafiz lagi. Amar seperti membatu tidak mendengar ajakkan Hafiz. Tanpa berfikir panjang Hafiz lekas menarik lengan Amar dan mengheretnya ke arah podium kecil yang disediakan khas untuk Amar.

“Abang, lepaskanlah. Nanti orang tengok apa pulak dorang fikir,” pinta Amar.

“Ok, ok,” jawab Hafiz ringkas. Lengan Amar yang dipegangnya tadi dilepaskan bagi memberi peluang kepada Amar untuk bergerak sendiri dengan keberaniannya sendiri.

Ketika itu kelihatan pengunjung yang menantikan kehadiran penulis muda ini semakin ramai. Amar tidak menyangka bahawa ramai yang hadir bagi mendapatkan novel terbaharunya secara eksklusif. Sempat Amar menoleh ke arah Hafiz yang berdiri tidak jauh dari tempatnya. Hafiz menghadiahkan senyuman kepadanya. Ternyata senyuman itu berjaya menyuntik keberanian dalam jiwa Amar untuk terus melangkah berani dan berdiri di atas podium itu. Kini Amar sudah berdiri berhadapan dengan semua pengunjung yang menantikan kehadirannya.

Dari atas podium itu, Amar sempat melihat ragam pengunjung yang kelihatan teruja dan ada juga yang sedang berbisik dengan rakan sebelah seperti sedang bercerita mengenai keterampilan Amar yang pelik. Penulis yang bertopeng. Amar cuba pasrah dengan perkara itu kerana dia sudah pun bersedia dengan pandangan orang lain mengenai identitinya. Walaupun seperti menyerupai Encik Mimpi, Amar juga berhak untuk tampil bertopeng juga tetapi membawa identiti dan karekter yang berbeza. Amar menarik nafas dalam dan menghembuskannya beberapa kali. Kini Amar bersedia.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Terima kasih saya ucapkan kepada semua kerana sudi hadir untuk mendapatkan novel terbaru saya, Homofobia. Saya AJ penulis novel ini. Untuk pengetahuan semua ini kali pertama saya berhadapan dengan semua sebagai seorang penulis. Jujur saya gementar sangat tapi Alhamdulillah saya bersyukur sangat sebab akhirnya saya berjaya hasilkan novel ni,” Amar memegang novelnya itu sambil menunjukkan kepada semua peminat.

“Seperti semua tahu novel ini ada sedikit kelainan dan saya harap semua dapat pengajaran dan pemahaman mengenai golongan yang menjadi pemain utama dalam novel ini. Bagi saya mereka sama seperti kita semua, punya perasaan, punya harapan dan punya masa hadapan. Cuma berbeza mereka ini sangat istimewa,” terang Amar jujur dari hati.

Amar menjadi lebih bersemangat untuk teruskan ucapannya apabila melihat peminat karyanya memberi respond positif malah teruja mendengar. Amar menarik nafas lebih dalam bagi meneruskan ucapannya lagi.

“Lahir dengan naluri yang berbeza bukanlah suatu yang mudah untuk diterima. Bila meningkat dewasa naluri kedewasaan semakin memuncak tetapi sayangnya naluri itu bertentangan dengan norma kehidupan tamadun kita. Sejauh mana mereka bertarung dengan naluri itu dan bagaimana pula akibatnya jika terus hanyut dengan naluri itu? Semuanya akan terjawab dalam novel ini.”

“Baiklah itu sahaja dari saya, ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa saya kerana selalu mendoakan kejayaan saya walaupun mereka tidak tahu yang  anak mereka ini adalah seorang penulis. Biarlah ianya terus menjadi satu rahsia,” Amar tergelak sendiri memikirkan soal keluarganya yang masih belum mengetahui bahawa Amar seorang penulis.

“Sekalung penghargaan diberikan kepada pihak penerbit kerana sudi menerbitkan novel saya yang tidak seberapa ini. Tidak dilupakan juga kepada seseorang yang sangat istimewa dalam hidup saya, terima kasih kerana selalu ada bersama saya tidak kira dalam apa jua perkara,” Amar memandang Hafiz dari jauh.

Sekuntum senyuman dihadiahkan kepada Hafiz. Hati Hafiz tersentuh dengan kata-kata Amar sehingga membuatkan air matanya tiba-tiba mengalir tanpa dipinta. Mujur Amar tidak perasan. Lekas dia mengesat air mata itu. Mana mungkin seorang lelaki menangis?

“Tahniah juga kepada semua kerana menjadi antara yang bertuah mendapatkan novel terbaru saya secara eksklusif dengan potongan harga sebanyak 10% bagi 50 pengunjung yang pertama. Jadi teruskan menyokong karya saya dan InsyaAllah saya akan terus menghasilkan karya yang terbaik untuk semua. Sekian, Assalamualaikum,” semua yang hadir memberikan tepukan yang gemuruh selepas Amar selesai berucap. Jiwa Amar sungguh berbangga kerana akhirnya dia berjaya menjadi seorang penulis yang sebenar.

Semuanya berpusu-pusu mendapatkan novel Homofobia yang telah tersusun rapi di almari buku di mana semua novel terbaru ditempatkan di dalam MPH Mid Valley termasuk novel hasil nukilan Amar atau nama penanya AJ. Hafiz kembali mendapatkan Amar. Dari wajah Amar sudah cukup menggambarkan bertapa gembiranya dia. Hafiz turut menumpang kegembiraan itu. Ternyata akhirnya Amar berjaya mencapai salah satu cita-citanya iaitu menjadi seorang penulis yang terkenal di awal usia. Bangga juga dirasai Hafiz kerana siapa sangka dia adalah lelaki yang bertuah kerana berjaya bertempat di hati Amar, penulis terkenal ini.

* * * * *

Sebuah kereta model terbaru keluaran syarikat mobil tersohor dunia, Walksvagon di pacu laju oleh pemandunya di ruangan parkir kenderaan. Dari pergerakkan kenderaan itu sudah cukup menggambarkan si pemandunya seperti tergesa-gesa mengejar sesuatu. Beberapa kali kenderaan itu berpusing di tempat yang sama untuk mencari ruang parkir yang kosong dan akhirnya berjaya. Sudah menjadi kebiasaan di Mid Valley, sentiasa ramai orang dan ruang parkir sentiasa penuh. Penuh.

“Kita dah lambat ni. Jom lah!” rungut Bella sambil tergesa-gesa mengunci stering keretanya dengan steering lock. Husna masih terkial-kial mencapai sesuatu di dalam beg tangannya.

“Una cari apa lagi tu? Jom lah,” rungut Bella lagi. Dia sudah pun keluar dari keretanya. Husna langsung tidak menjawab pertanyaan Bella. Dia cuma memberikan isyarat tangan agar Bella menunggunya terlebih dahulu.

“Sorry lambat Bella. Sorry sangat,” Husna serba salah dengan Bella. Kalau bukan kerana dia yang tertidur semula di tikar sejadah selepas subuh pagi tadi pasti mereka berdua sempat mendengar ucapan ringkas dari penulis AJ.

“Bell dah pesan suruh jangan lewat. Dah lah, jom. Nanti takut tak sempat pula,” tanpa menanti jawapan dari sahabatnya, tangan Husna ditariknya lalu dua sahabat ini berlari menuju ke destinasi mereka, MPH Mid Valley.

* * * * *

“Macam mana keadaan anak saya doktor?” soal Tan Sri Naqiuddin di ruangan bilik doktor yang merawat anaknya, Farish. Doktor itu masih tidak menjawab, matanya masih sibuk meneliti laporan kesihatan Farish yang telah direkod sejak Farish mula-mula didaftarkan masuk ke wad Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Setakat ni keadaannya masih stabil cuma masih belum sedarkan diri. Sama-samalah kita doakan dia agar dia cepat sedar,” jawab doktor itu. Tan Sri Naqiuddin menunduk, fikirannya hanya ada Farish. Anak yang terpaksa menjadi mangsa keadaan akibat dosa silamnya.

“Ini semua salah saya. Semua salah saya, doktor. Kalaulah saya dapat putar masa balik, pasti semua benda ni tak kan jadi. Saya bukan ayah yang baik,” luah Tan Sri. Air mata penyesalan mengalir kembali.

“Semua orang buat silap, Tan Sri. Selagi kita masih ada peluang untuk betulkan keadaan, teruskanlah. Jangan pernah mengalah,” nasihat doktor itu.

“Tapi sebab saya lah isteri saya mati. Dan sebab itu lah Farish jadi sampai macam ni, sama macam isteri saya dulu,” mengadu Tan Sir Naqiuddin lagi.

“Jadi Tan Sri dah tahu yang Encik Farish menghidap MDD?” soal doktor inginkan kepastian. Tan Sri Naqiuddin hanya mengganguk akur dengan pertanyaan doktor itu.

“Tapi saya langsung tak sangka yang dia akan ambil ubat tu secara berlebihan,” rungut Tan Sri Naqiuddin. Dia sudah mengetahui yang anaknya memang mengambil antidepressant sejak kematian isterinya tetapi langsung tidak pernah menyangka yang anaknya mengambil secara berlebihan.

“Sejak kebelakang ni dia ada tertekan ke? Atau sesuatu yang membuatkan dia rasa kecewa?” soal doktor inginkan kepastian mengenai keadaan pesakitnya.

“Kecewa?” tiba-tiba bayangan seseorang mucul dalam fikiran Tan Sri Naqiuddin.

* * * * *

Selepas selesai mendapatkan tanda tangan penulis novel Homofobia, seorang demi seorang peminat karya AJ itu berlalu pergi meninggalkan MPH Mid Valley. Hampir satu jam Amar bersama-sama dengan peminat karyanya. Kini hanya tinggal Hafiz dan beberapa pengunjung kedai buku yang sedang sibuk mencari buku-buku yang mereka kehendaki. Amar masih lagi duduk di atas kerusi di mana tempat dia memberikan novel berserta tanda tangannya kepada peminat karyanya. Hafiz pula sedang leka berbual bersama-sama dengan staf sokongan dari syarikat penerbitan.

Jam tangannya sudah menunjukkan waktu tengah hari. Jika di PASUM, pada jam sebegini pasti dia dan Hamdan berlari-lari pulang ke kolej kediaman. Semata-mata nak elakkan dari beratur panjang untuk membeli juadah makan tengah hari. Cuba bayangkan suasana kafe apabila seribu pelajar datang secara serentak memenuhi ruang kafe untuk makan tengah hari. Kecoh dan sesak. Siapa sanggup nak beratur panjang. Nak solat lagi dan kemudiannya kena kembali semula ke PASUM untuk sesi kuliah ataupun sesi praktikal di makmal. Itulah hidup Amar sebagai pelajar di pusat asasi terbaik di Malaysia.

“Termenung apa tuh?” sergah Hafiz.

“Eh, abang ni. Terkejut lah,” rungut Amar.

“Makan jom?” ajak Hafiz. Amar hanya mengganguk setuju. Belum sempat Amar bangun dari kerusinya, tiba-tiba kedengaran jeritan seseorang dari hadapan pintu masuk MPH Mid Valley.

“Tunggu!” jerit dua gadis yang termengah-mengah berlari menuju pintu masuk MPH Mid Valley.

Mata Hafiz tajam memandang salah seorang gadis yang menjerit itu. Dari raut wajahnya, Hafiz sangat pasti dia memang benar-benar mengenali gadis itu. Husna. Itulah gerangannya. Husna turut merasai apa yang dirasai Hafiz. Melihat Hafiz yang sedang berdiri di sebelah penulis kegemarannya menimbulkan rasa curiga dalam hati Husna. Adakah Hafiz teman rapat AJ atau pun dia juga peminat karya AJ sama seperti dia? Pertemuan antara keluarga Husna dan keluarga Hafiz tiba-tiba kembali dalam ingatannya. Seseorang yang pernah dia lihat di kediaman Hafiz dulu.

“Maaf kami lambat. AJ kan? Saya minat gila dengan karya awak. Masih ada lagi ke promosi 10% tu?” soal Bella teruja. Amar langsung tidak memberi sebarang respond kepada Bella. Dia masih terkejut dengan kehadiran Husna, bakal pesaingnya dalam merebut cinta Hafiz.

“Hafiz?” Husna kini berdiri betul-betul dihadapan Hafiz dan langsung tidak mengendahkan sahabatnya di sisi. Fikirannya hanya serabut memikirkan Hafiz dan penulis misteri itu. Bella turut kehairanan melihat Husna menyapa lelaki yang berdiri di sisi AJ.

“Hai, Husna. Bua tapa dekat sini?” soal Hafiz kekok. Walaupun soalan itu agak klise dan mungkin agak bodoh juga untuk ditanya tetapi itu sahaja yang mampu dikatakan.

“Saya datang sini sebab nak jumpa AJ. Awak?” soal Husna semula. Ternyata soalan Hafiz tadi memerangkap dirinya semula. Hafiz keliru, sama ada dia perlu memberitahu perkara sebenar atau tidak.

“Korang kenal ke?” Bella mula bersuara. Tindakan Bella itu seperti penyelamat kepada Hafiz. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu menjawab soalan Husna tadi.

“Mana boleh tak kenal. Kami kawan sejak kecil lagi, tapi sekarang masing-masing dah besarkan,” jawab Hafiz ramah dengan harapan Husna tidak mempersoalkan keberadaannya lagi.

“Oh, tak sangka juga Una ada kawan lelaki yang handsome macam awak ni?” Bella mula menggatal. Husna langsung menyiku lengan Bella.

Bella memang pantang bertemu dengan lelaki kacak, pasti ada sahaja ayat-ayat manis yang keluar dari mulutnya. Ramai sahaja lelaki yang ‘melekat’ dengannya lebih-lebih lagi Bella ini sememangnya seorang gadis yang sangat cantik walaupun berhijab. Tetapi niatnya hanya suka-suka, sekadar ingin menambah teman dan kenalan semata-mata, tidak lebih dari itu.

“Akak rasa akak kenal awak? Tak silap kita pernah berjumpa masa dekat rumah abang Hafiz? Ingat tak?” Husna membahasakan dirinya sebagai ‘akak’ (kakak). Dia bersuara penuh keyakinan. Amar cuba untuk berdalih tetapi ternyata Husna sememangnya seorang yang sangat teliti. Amar menyerah.

“Tak sangka akak cam saya walaupun saya pakai topeng. Baguslah akak ni,” puji Amar. Hatinya masih lagi rasa kekok untuk mengakui identitinya. Hafiz hanya tersenyum tawar mendengar jawapan Amar.

“Chopp! Bila masa korang kenal ni? Una? Kenapa tak pernah bagi tau Bell yang Una kenal dorang?” soal Bella bertubi-tubi. Di seperti tidak puas hati.

“Bukan tak nak bagi tau, cuma baru tahu sekarang. Hafiz pun tak bagi tau yang dia kenal AJ ni, jawab Husna. Hafiz tersenyum seperti kerang busuk.

“Hahahahaha, bukan apa. Cuma tak tahu pun yang korang peminat novel AJ ni,” jawab Hafiz.

“Ok, ok, ok. Tak kisah lah. Tapi yang penting promosi tu ada lagi kan? Awak masih boleh tolong bagi tanda tangan kan? Kan? Kan?” soal Bella meleraikan perbualan Hafiz dan Husna yang mungkin tidak berkesudahan.

“Hahahahahaha!” masing-masing tertawa.

Pertemuan yang tidak disangka menyebabkan terbongkarnya identiti sebenar Amar. Kini hanya mereka bertiga yang mengetahui siapa sebenarnya Amar. Walau bagaimana pun, Amar tetap bimbang. Adakah pertemuan ini satu petanda yang baik atau sebaliknya?

BERSAMBUNG

MARATHON BUKAN UNTUK AMAR

P/S : Teruskan menyokong blog kakiberangan. Thanks kerana sudi menanti sambungannya. Komen anda amat dialu-alukan! 🙂

 

Advertisements

25 thoughts on “BUKAN UNTUK AMAR (Bab 27)

  1. Never thought that this would happen. I mean, ape yg menariknya ialah ttg cycle kehidupan…perkara yg dah jadi n belum terjadi tp bakal jadi…papa farish dahpun melalui keadaan dilema berkahwin dgn perempuan yg tidak dia sukai, bgitu jgak Hafiz skarang ni, bila tgok keadaan keluarga papa farish, ade kemungkinan ke yg kisah hafiz akn jadi mcm tu? ape yg akn jd pade Amar ye nnt??hurm

  2. apasal aku rasa citer ni akan habis dulu berbanding citer aku punya.. 27 part dlm masa lebih kurang setahun.. but aku punya 34 parts dari 2012-14, x habis2 lg.. hahahahahahaha

    1. Hahahahaha…agak ah..saya cuba nak habiskan tahun ni jugak sbb nak buat cerita baru dah…tp masa selalu tak cukup lah nak habiskan cepat2…pening gak kadang2 😛

    1. Thanks zul 🙂 Sebenarnya cerita ni mmg akam sentiasa berubah termasuk pengakhirannya sekali sbb idea x pernah tetap..tp apa2 pun saya akan cuba buat yg terbaik agar cerita ini menjadi lebih menarik 🙂

  3. TQ Mr K, aku baru tau pasal blog kau 6 jam tadi n i read all episode in 6 hour hahaha ( sampai keje aku kat opis ni x bergerak hahaha). Plot cerita yang menarik, paling aku suka sbb kau kurang mnggunakan adegan sex sebagai main point tapi kau masukan adegan2 romantik. Karya kau ada unsur2 penulis HLOVATE hahaha. Tq cant wait to see more episode coming from u.

    1. Hlovate? Saya kurang tahu mengenai penulis hlovate. Btw thanks sebab sudi baca karya saya. 🙂 InsyaAllah saya akan buat yg terbaik..teruskan menyokong 🙂

      1. Ohhh, really. Penulisan dah hampir similar. Ni adalah cadangan, untuk menambah rasa dalam penulisan Mr K. Kalau boleh, ceritakan mengenai amar semasa di sekolah mcm mana amar kenal dengan idham n kawan2 dia. Setakat ini watak amar terlalu misteri hahahaha.

  4. Haha, berdebar rasanya baca chapter ni.
    Something is bound to happen. i knew it.
    Dan rasanya (tak tahulah kalau saya saja yang rasa) ramai yang musykil siapa yang akan bersama dengan Amar.
    Cerita ni akan sampai endingnya dalam masa terdekat ke?

  5. thanks untuk novel yang boleh mengisi masa lapang saya sementara menganggur nie..haha.. harap sambungan dipercepatkan.. writer msih studykan? n i faham kekangan masa sbb sya pun baru melalui frasa ini selama 4 tahun 🙂 selamat berkarya lagi 🙂

    1. Yup..memang tgh study..terima kasih sbb faham..InsyaAllah kalau tiada halangan saya akan sambung menulis selepas final exam..harap bersabar ya! 😄

      1. no problem, i will waiting for the next chapter.. guess what.. i baca dari mula lagi novel u nie sbb takut lupa jangan cerita dia.. n the feel is remain same.. tiada yang berubah 🙂

  6. OMG I’m so hooked! I stayed the whole night reading all 27 chapters. All the best on your final exam. Can’t wait for you to post the next chapter! Cheers all the way from Brunei 😀

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s