Bukan Untuk Amar (Bab 28)

Be-Yourself-No-Matter-What

Bagi mereka yang ketinggalan bab-bab sebelum ini, anda boleh dapatkannya di sini:

MARATHON BUKAN UNTUK AMAR


Watak sampingan

Bella – sahabat kepada Husna

Tan Sri Naqiuddin – ayah kepada Farish


“Aku kena dapatkan maklumat pasal keluarga dia,” bisik hati Danish.

Kini dia berdiri benar-benar di hadapan pintu bilik Amar. Matanya liar memerhati keadaan sekeliling sama ada selamat atau tidak untuk dia meneruskan rancangannya. Setelah dia pasti keadaan benar-benar selamat, dia lantas memberanikan diri membuka pintu bilik Amar. Keadaan bilik Amar sunyi tanpa penghuni. Dari katil hingga ke meja belajar, semuanya bersih dan tersusun rapi.

“Mesti ada dekat sini,” bisik hati Danish lagi. Matanya tepat memadang ke arah meja belajar Amar.

Tangannya ligat membuka setiap laci yang ada di meja belajar itu. Memang penuh dengan barang peribadi Amar tetapi barang yang ingin dia cari masih belum dijumpai. Kemudian dia beralih pula ke bahagian atas meja. Fail-fail yang tersusun rapi di atas meja itu diselak satu persatu. Fail berwarna biru muda yang terselit di sebalik himpunan fail-fail peribadi Amar berjaya menarik perhatiannya. Di atas fail itu tertulis “Maklumat Peribadi Pelajar”.

“Ini pun dia,” Danish teruja. Helaian demi helaian diselak satu per satu bagi meneliti setiap maklumat yang terkandung di dalam fail tersebut. Kelihatan sehelai surat yang tertulis “Sijil Kelahiran”. Danish membaca setiap perkataan yang tertulis di atas helaian itu. Nama bapa Amar dilihatnya pada helaian itu membuatkan kaki Danish lemah tidak bertulang.

“Ya Allah!” jerit hati Danish.

* * * * * * * * * * *

Lorong wad kelas pertama sunyi sepi seperti tidak berpenghuni. Tan Sri Naqiuddin berjalan lemah menuju ke wad di mana anaknya ditempatkan. Perlahan-lahan pintu wad dibuka, kelihatan Farish sedang lena terlantar di atas katil. Tan Sri Naqiuddin menggagahkan dirinya mendekati anaknya. Seribu sesalan dirasai bapanya bila melihat wajah anaknya. Namun, dia masih bersyukur kerana sahabat anaknya, Idham sempat membawa anaknya ke hospital. Jika tidak mungkin dia akan kehilangan anak tunggal itu. Jika perkara itu terjadi dia pasti tidak mampu memaafkan dirinya lagi.

“Sejak kebelakangan ni dia ada tertekan ke? Atau sesuatu yang membuatkan dia rasa kecewa? Jika ada saya harap agar dapat ditangani segera. Sebab kalau perkara macam ni berlaku lagi, maaf saya katakan Farish mungkin tidak dapat diselamatkan lagi”

 

Pesanan yang diberikan oleh doktor kepadanya tadi masih terngiang-ngiang ditelinganya. Tan Sri Naqiuddin merasakan dirinya sangat terbeban dengan semua ini. Dia langsung tidak menyangka situasi hidupnya menjadi sesukar ini. Meski pun dia sudah lama meninggalkan dunia songsang dan fokus kepada perniagaannya, dosa silamnya masih menghantui hidupnya dan kini anaknya pula yang sudah mengikut jejaknya. Dia tidak mampu menyalahkan anaknnya seorang kerana segalanya berpunca darinya.

“Ya Allah, apa yang patut aku lakukan. Aku tak mahu anakku melakukan kesilapan yang pernah aku lakukan dulu,” rambut anaknya dibelai lembut. Air matanya mula mengalir tanpa henti.

Idham yang baru sahaja tiba di wad sahabatnya itu sempat melihat keadaan Tan Sri Naqiuddin. Mahu sahaja dia masuk ke dalam tetapi mengenangkan rasa simpati, dia memilih untuk membiarkan bapa sahabatnya sendiri menjaga sahabatnya buat malam itu.

“Kesian pak cik,” bisik hati Idham. Dia langsung meninggalkan mereka anak beranak berdua lalu pulang ke rumah.

“Ibu…ibuu…ibu,” sayup bibir Farish memanggil “ibu”. Tan Sri Naqiuddin tersentap apabila mendengar suara anaknya yang sedang memanggil “ibu”.

“Ayah ada dekat sini nak. Ayah ni,” bisik Tan Sri Naqiuddin di telinga anaknya.

Farish langsung tidak memberi respond sebaliknya hanya membisu. Matanya tertutup rapat, masih lena dibuai mimpi yang tidak pasti. Mungkin dia melihat wajah ibunya di dunia separa sedarnya. Tan Sri Naqiuddin tidak mampu menahan sebak yang teramat. Sesalan yang tidak berkesudah ini semakin menikam jiwanya kerana anaknya langsung tidak menyebut namanya.

“Aku memang ayah yang zalim. Aku tak berhak mengharapkan perhatian dan kasih sayang dari anak aku sendiri,” jerit hati Tan Sri Naqiuddin. Dia hanya mampu melihat anaknya terbaring sehingga tertidur di samping anaknya.

* * * * * *

Restoran The Manhattan Fish Market menjadi pilihan mereka mengisi perut di tengah hari. Husna tidak henti-henti menanyakan soalan kepada Amar sejak dari MPH sehinggalah sampai ke restoran. Bella juga tidak terkecuali menyampuk perbualan mereka. Hafiz yang berjalan di samping Amar hanya mendiamkan diri kerana tidak tahu mahu menyampuk apa. Setiba sahaja di restoran, mereka berempat memilih tempat duduk di penjuru restoran.

“Boleh order dulu? Am nak pergi washroom kejap,” pinta Amar.

“Nak abang orderkan ke Am?” soal Hafiz lemah lembut. Bella terkedu seketika apabila Hafiz menggelarkan dirinya ‘abang’. Bukan kerana geli, cuma jarang sekali lelaki menggunakan gelaran ‘abang’ dalam perbualan harian walaupun berbeza usia. Husna hanya mendiamkan diri, matanya sibuk melihat menu.

“Boleh juga lah. Order ikut selera abang je lah,” pinta Amar. Sempat dia menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Hafiz sebelum berlalu pergi. Kali ini Bella sudah mula curiga dengan tindak tanduk dua lelaki di hadapannya itu.

“Ok dah tahu nak makan?” Husna bersuara.

“Dah,” jawab Hafiz sepatah.

“Bell dah?” soal Husna kepada sahabatnya.

“Eh belum. Kejap ni baru nak tengok menu,” Bella yang sibuk memikirkan kecurigaannya itu tadi baru sahaja sedar dia belum melihat langsung senarai menu yang mahu dipilih.

“Untuk Amar dah pilihkan?” soal Husna lagi. Hafiz hanya mengangguk tanda sudah. Bella masih tekun melihat menu satu persatu.

“Dia ni memang bab nak pilih makanan sangatlah susah, memang lama. Nanti last-last dia pilih sama dengan saya, ” tambah Husna lagi. Bella yang rungsing tidak tahu memilih akhirnya membuat keputusan seperti yang dijangka Husna.

“I order sama dengan Una lah,” Bella bersuara. Hafiz dan Husna tergelak sendiri. Ternyata apa yang dikatakan Husna tepat sekali.

“Kan dah cakap. Hurmm ya lah Bella,” jawab Husna pendek. Hafiz langsung memanggil pelayan restoran untuk memesan makanan. Tidak lama kemudian Amar muncul.

“Dah order?” soal Amar memulakan bicara.

“Dah,” jawab Hafiz ringkas. Anak mata Bella tidak berhenti melihat tingkah laku Amar dan Hafiz. Hatinya kuat merasakan sesuatu yang aneh pada mereka berdua tetapi belum berani membuat sebarang spekulasi awal. Namun, Bella tidak akan berputus asas untuk mencari kepastian sama ada apa yang dirasainya itu benar atau hanya mainan perasaan. Selang beberapa minit makanan yang dipesan tiba. Masing-masing sibuk merasa makanan yang dipesan.

“Sejak bila awak kenal dengan Hafiz ni? Tak pernah bagi tahu saya pun,” Husna mula bersuara. Amar yang tadinya leka menikmati makanan tersentak apabila mendengar soalan Husna. Beberapa kali dia memandang ke arah Hafiz. Bella ketika itu langsung tidak menghiraukan mereka, fikirannya hanyalah makan.

“Saya kenal dia sebab…sebab,” Amar tergagap-gagap menjawab. Dia sendiri tidak tahu apa yang ingin dia katakan selepas itu.

“Kami kenal masa dekat UM dulu. Ada satu kejadian tu Amar hampir terlanggar dan mujur  waktu tu Hafiz ada. Kalau tidak tak tahu apa jadi,” Hafiz mencelah. Amar hanya menarik nafas lega kerana Hafiz tahu menyembunyikan kelemahannya. Amar sememangnya bermasalah untuk memberikan penjelasan terutama sekali ianya melibatkan kisah dirinya.

“Oh macam tu. Tapi Hafiz dengan Amar macam rapat sangat, dah macam adik beradik dah,” puji Husna.

“Bukan macam adik beradik tapi dah macam couple dah,” Bella menyampuk. Amar yang sedang minum langsung tersedak apabila mendengar kata-kata yang pedas dari Bella. Hafiz turut terkejut apabila kata-kata yang ditujukan itu sangat mengena kepada mereka berdua. Husna hanya tergelak melihat muka merah padam Amar akibat tersedak.

“Biasalah, Hafiz ni anak tunggal. Mana ada adik beradik lain jadi Am ni Hafiz dah anggap macam sebahagian dari keluarga Hafiz,” jawab Hafiz bersahaja. Amar ketika itu hanya tersenyum mendengar penjelasan Hafiz. Perkataan “keluarga” digunakan bagi menerangkan darjat dirinya dalam hidup Hafiz sedikit menyentuh hatinya. Adakah melebihi dari seorang adik atau lebih dari itu.

“Hurmm susahnya  hidup aku ni,” keluh hati Amar. Perbualan antara Hafiz, Husna dan Bella langsung tidak diendahkan. Fikirannya dibawa ke dunianya sendiri. Dunia yang sukar untuk dia melafazkan sesuatu yang benar dan membataskan segala perbuatan.

Mungkin benar dia sudah menerima lamaran Hafiz semasa mereka berdua di i-City dulu. Tapi adakah mereka berdua benar-benar sepasang kekasih. Agak janggal untuk dia mengakui perkara itu jika perasaannya tidak dapat ditonjolkan dikhalayak ramai. Dalam masa yang sama mengapa  dia masih punya rasa simpati terhadap Farish. Amar keliru dengan perasaannya sendiri dan ini kali pertama dia dilamun cinta. Cinta kepada siapa? Teringat pula perbualannya dengan Danish sehari lalu.

* * * * * *

SEHARI LALU

“Aku pelik lah dengan kau. Kenapa  kau masih nak ambil tahu pasal Farish walhal dia dah buat kau rosak sebelum ni,” soal Danish tiba-tiba.

Amar yang pada awalnya leka menelaah pelajaran tiba-tiba terkedu mendengar persoalan Danish yang baginya sangat mendalam. Matanya mula memandang ke arah Danish yang masih setia menanti jawapan Amar walaupun dari bahasa badannya sudah jelas menunjukkan dia tidak mahu menjawab soalan yang sukar itu.

“Aku tanya ni. Kenapa diam pula?” paksa Danish lagi. Amar serabut menyusun ayat yang sesuai untuk menjawab soalan itu. Tapi otaknya seperti tidak dapat berfungsi malah hatinya juga seperti tidak tahu apa yang sebenarnya dirasai selama ini.

“Sebenarnya aku sendiri tak tahu kenapa aku masih nak ambil tahu pasal Farish,” Amar berhenti seketika. Dia menghembus nafas tanda mengeluh. Danish masih menanti jawapan sebenar Amar.

“Aku cuma kesian. Mungkin dia pernah buat jahat dekat aku tapi itu bukan bermakna aku kena balas dengan dendam,” terang Amar lagi. Danish mengerut dahi apabila mendengar jawapan Amar yang baginya tidak masuk akal dan berbau penipuan.

“Kalau aku cakap kau masih sayangkan Farish macam mana? Betul atau salah tekaan aku ni?” kali ini Amar tergamam. Danish seperti sedang mengumpan dia untuk memberikan kenyataan sebenar yang sudah lama disimpan dalam hati. Amar tidak senang duduk.

“Aku bukan apa, Am. Hafiz tu sayang sangat dekat kau dan apa yang sudah berlalu biarkan berlalu. Sekarang ni dah ada orang yang betul-betul sayangkan kau. Jangan buat dia terluka sebab dia mungkin orang yang terakhir yang kau jumpa sepanjang hayat kau,” tambah Danish lagi.

Amar hanya membisu. Dia masih tidak menjawab soalan Danish dan kini kepalanya mula rungsing dengan kata-kata terakhir Danish. Amar merasakan dirinya seperti mangsa taruhan dan dia tersepit untuk memilih siapa yang berhak dipilih. Sama ada terus menjadi taruhan si penjahat iaitu Farish atau diselamatkan oleh Hafiz tetapi hidupnya akan sentiasa diburu oleh si penjahat. Amar mula keliru apa itu cinta dan apa itu pengorbanan.

“Kau perlu buat keputusan yang terbaik. Bukan terbaik untuk kau sahaja tetapi untuk semua orang. Cinta itu tidak semestinya dimiliki tetapi cukup dengan melihat orang yang dicintai itu bahagia selamanya,” sambung Danish lagi.

Kali ini mata Danish mula berkaca, kata-katanya tadi benar-benar datang dari sudut hati kecilnya yang sudah lama tersimpan. Bayangan gadis jelita di kampung halamannya kembali mengisi kotak fikiran. Hati lelakinya tidak cukup gagah menahan hiba disulami rasa bersalah terhadap gadis yang selalu menjadi tulang belakang sejak ketiadaan neneknya. Amar sedar akan perubahan pada Danish lekas dia mengusap belakang tubuh Danish.

“Kenapa ni Danish? Aku ada salah cakap ke?” soal Amar bertubi-tubi. Danish berusaha untuk menahan rasa sedihnya tetapi gagal. Amar langsung memeluk tubuh Danish sekuat hati dan tanpa disedari matanya mula berkaca tanpa sebab yang jelas. Apa yang pasti Amar seperti dapat merasakan kesedihan yang dirasai Danish walaupun dia tidak tahu sebab musababnya.

“Aku tak mahu kau kecewa,” lafaz Danish yang terakhir. Amar hanya mampu menerima kata-kata Danish. Bayangan Hafiz dan Farish sudah mula muncul mengelilingi fikiran Amar.

* * * * * *

“Sedaplah makanan tadi, rasa kenyang sangat. Terima kasihlah Hafiz sebab belanja kami hari ni. Dah lah handsome, pemurah pula tu. Untung siapa yang dapat dia ni,” usik Bella.

“Sama-sama. Alah bukan selalu pun dapat makan sama-sama macam ni kan?” jawab Hafiz.

Husna seperti biasa hanya tersenyum mendengar usikan sahabatnya itu. Sudah jadi kebiasaan sikap sahabatnya yang gemar mengusik lelaki kacak. Ini baru sedikit. Belum lihat lagi kejadian sebelum ini yang berlaku pada lelaki-lelaki lain. Pernah sekali Bella “mengayat” seorang lelaki sehingga lelaki itu tergila-gilakan sahabatnya itu. Dia sendiri tidak tahu ilmu pawang mana yang dipakai tetapi Bella memang pandai “mengayat” lebih-lebih lagi suaranya agak lembut dan menggoda. Sudah pasti menggoda hati si teruna yang masih mencari si dara.

“Hafiz parking kereta dekat mana?” soal Husna. Hafiz menunding jarinya ke suatu sudut di ruangan parkir kereta bawah tanah. Belum sempat Hafiz menyeberangi jalan yang menghubungkan tempat letak keretanya. Tiba-tiba sebuah kereta Honda berona hitam dipacu laju menuju ke arahnya. Amar sedar akan tindakan kereta itu seperti ingin melanggar Hafiz.

“Hafiz!” jerit Amar. Dia lantas menolak kuat tubuh Hafiz ke tepi jalan bagi mengelak dari dilanggar.

Habis berguling mereka berdua ke tepi jalan. Kenderaan itu gagal melanggar mereka lalu meninggalkan tempat kejadian. Husna dan Bella yang berdiri tidak jauh dari tempat tersebut segera mendapatkan mereka berdua. Bella berusaha melihat siapa pemandu kenderaan yang cuba melanggar Hafiz tetapi malangnya wajah pemandu itu tidak jelas kelihatan kerana cermin tingkapnya yang gelap. Walau bagaimana pun, dia sempat menghafal nombor pendaftaran kenderaan tersebut.

“Hafiz! Amar! Tak apa-apa ke? Okey tak ni?” soal Husna bimbang. Ketika itu Bella sedang menghubungi pihak keselamatan bagi melaporkan kejadian itu tadi.

“Saya tak apa-apa. Amar ok tak?” soal Hafiz pula. Hafiz melihat wajah Amar berkerut seribu seperti sedang menahan kesakitan. Apabila diteliti kelihatan luka sebesar duit 50sen di siku kanan Amar.

“Am cedera. Kita kena bawa dia ke klinik sekarang,” cadang Hafiz.

“Tak payah lah abang, sikit je ni,” Amar menolak. Husna segera meminta kunci kereta Bella lalu mengambil kotak pertolongan cemas yang tersimpan di dalam bonet kereta sahabatnya itu. Dia kembali semula mendapatkan Amar bagi merawatnya.

“Jom kita ke kereta awak. Biar saya sapukan ubat,” pinta Husna. Hafiz hanya akur dengan permintaan Husna yang ingin merawat kekasihnya itu. Mereka semua langsung duduk di dalam kereta Hafiz. Bella masih lagi berdiri di tempat kejadian bagi memberikan penerangan mengenai kejadian tadi kepada pihak keselamatan. Selang beberapa minit pihak polis muncul di tempat kejadian.

“Tahan ya. Ni sakit sikit,” pesan Husna sebelum dia menyapu antiseptic pada luka di siku Amar. Amar mengetap gigi menahan pedih lukanya itu. Hafiz hanya memeluk tubuh Amar dari belakang bagi mengurangkan rasa sakit yang dirasai Amar.

“Kesian Am. Sebab nak selamatkan abang, habis luka tangan dia. Maafkan abang ya?” Hafiz serba salah melihat keadaan Amar. Tubuh kurus Amar dipeluknya erat.

“Tak pe sikit je ni. Betul tak kak?” kata Amar. Husna hanya tersenyum mendengar kata-kata Hafiz dan Husna. Ternyata memang benar hubungan Amar dan Hafiz kelihatan sangat rapat. Dia tumpang gembira melihat keakraban Hafiz dan Amar. Dia juga anak tunggal dan dia mengerti sangat bagaimana rasanya bila bersendiri dan alangkah bahagianya jika dia juga punya seorang adik.

* * * * * *

“Celaka punya budak! Kalau kau tak ada tadi, gerenti dah siap kerja aku sekarang. Kau layak kena langgar sekali dengan jantan yang kau cintakan sangat tu. Mujur bos aku nak kau hidup-hidup, kalau tidak hancur aku lenyekkan kau,” Zack memaki hamun di dalam keretanya.

Kenderaannya dipacu laju meninggalkan pusat membeli belah Mid Valley menuju ke suatu tempat yang sunyi di sekitar Bangsar. Zack memberhentikan kenderaannya di bahu jalan lalu keluar dari kenderaan itu. Beberapa kali Zack memerhati keadaan sekeliling sama ada benar-benar sunyi tanpa kehadiran manusia. Setelah dia pasti keadaan selamat, dia mengatur langkah pantas menuju ke bonet hadapan dan belakang keretanya.

“Kau ingat aku bodoh ke?” bisik hati Zack. Serta-merta nombor pendaftaran kenderaan itu ditanggalkan. Ternyata Zack sungguh licik dalam melaksanakan tugasan terkutuknya itu. Setelah itu dia langsung kembali masuk ke dalam kereta lalu meninggalkan tempat tersebut.

* * * * * *

“Aku dekat mana ni?” soal Farish sendiri. Kini dia berada di sebuah tanah lapang yang dipenuhi rimbunan pokok-pokok dan dihiasi kuntuman bunga yang beraneka warna.

Tubuhnya seperti dihembus angin sayup menuju ke sebuah pondok yang terhias indah dengan lilitan pokok bunga berona putih jingga. Dari jauh haruman bunga itu seperti menyentuh hati Farish untuk mendekati pondok yang tersergam indah di hadapannya. Haruman yang terhasil sungguh dekat dengan jiwa Farish suatu ketika dahulu. Matanya meneliti setiap kuntuman bunga yang menghiasi pondok itu. Ternyata benar sangkaannya, bunga yang berjaya menarik perhatiannya ini merupakan bunga kegemaran ibunya. Orkid hibrid yang dikenali sebagai Oncidium Twinkle Fragrance Fantasy adalah bunga kegemaran ibunya kerana ianya menghasilkan bau yang lembut seperti vanilla.

“Farish,” sayup panggilan seorang wanita memecah kesunyian. Farish terkejut mendengar panggilan itu. Suaranya persis seperti suara seseorang yang sudah lama dirinduinya. Matanya tercari-cari siapakah yang memanggil namanya itu. Tidak lama kemudian sekujur tubuh wanita berbaju putih muncul di pondok itu.

“Ibu!” jerit Farish. Dia lantas berlari mendapatkan ibunya. Tubuh wanita itu dipeluknya erat tanda rindu yang sudah lama tidak dibalas.

“Ibu, Farish rindu ibu. Rindu sangat-sangat,” ucap Farish teresak-esak. Air matanya tidak berhenti berlinangan. Wanita itu mengusap lembut rambut anak tunggalnya itu. Dari raut wajah wanita itu kelihatan sedih melihat nasib anaknya.

“Ibu pun rindu dengan kamu nak,” balas wanita itu. Air matanya hampir menitis ke pipi tetapi ditahannya kerana tidak mahu menunjukkan rasa sedihnya dihadapan Farish.

“Ibu, Farish tak sanggup nak hidup lagi. Farish nak ikut ibu, Farish tak nak lagi terseksa macam ni lagi. Farish merayu bawalah Farish sekali,” pinta Farish. Ibunya hanya mampu tersenyum tawar mendengar permintaan anaknya itu. Namun, dia bukan tuhan yang mampu merealisasikan permintaan anaknya itu.

“Farish cuba lihat bunga orkid ni. Farish ingat lagi pesan ibu mengenai haruman bunga ni?” soal wanita itu. Farish mengangguk.

“Ingat. Ibu cakap bau bunga ni boleh menawar tekanan,” jawab Farish ringkas. Wanita itu tersenyum mendengar jawapan anaknya. Ternyata anaknya benar-benar mengingati pesanannya.

“Jadi, apa kata kalau Farish pelihara bunga ni,” cadang wanita itu. Bunga orkid yang berada ditanggannya itu diserahkan kepada anaknya. Farish menerima tanpa sebarang persoalan.

“Ingat nak. Yang pergi akan tetap pergi dan yang masih hidup harus teruskan hidup. Ibu tak boleh bersama Farish lagi. Tapi doa ibu akan sentiasa menemani Farish selamanya. Ibu tak boleh lama, ibu harus pergi sekarang. Ingat nak, doa ibu sentiasa bersama dengan mu nak,” pesan wanita itu sebelum hilang dibawa kabus putih.

“Ibu! Jangan tinggalkan Farish, ibu! Ibu!” jerit Farish.

“Farish! Ni ayah nak. Farish! Ni ayah ni,” Tan Sri Naqiuddin mengusap tubuh anaknya yang mengelupor di atas katil. Farish yang terdengar suara ayahnya lalu tersedar dari lamunan mimpinya.

“Ibu! Mana ibu, ayah? Mana?” soal Farish berkali-kali.

“Ibu tak ada nak. Tak pe ayah ada dekat sini” tubuh anaknya dipeluk erat. Farish menangis teresak-esak mengenang wajah ibunya tadi. Ternyata semua mimpi semata-mata. Rasa rindunya kepada ibunya kembali bersarang dalam dirinya. Dia hanya mahukan ibunya kembali dan hidup bahagia seperti dahulu. Sedang dia menangis, hidungnya tertangkap dengan satu haruman vanilla berdekatannya. Alangkah terkejutnya dia melihat sekuntum bunga orkid berona putih jingga berada di atas telapak tangan kanannya.

“Ibu?” ucap Farish. Tan Sri Naqiuddin langsung melepaskan dakapannya apabila mendengar anaknya menyebut nama ‘ibu’. Mata Farish tidak berkedip melihat sekuntum bunga orkid yang benar-benar berada di atas tangannya. Rupa bentuk dan harumannya persis seperti dalam mimpinya.

“Mana Farish dapat bunga orkid ni?” soal Tan Sri Naqiuddin. Farish hanya membisu. Ayahnya kehairanan melihat dari mana datangnya bunga itu walhal semalam dia langsung tidak terlihat sekuntum bunga pun di tangan anaknya. Yang lebih menghairankan lagi bunga itu kelihatan segar dan harum.

BERSAMBUNG

P/S : Setelah lama anda semua menanti. Inilah sambungan yang seterusnya. InsyaAllah akan berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk pembaca semua. Thank you kerana masih menyokong blog KakiBerangan 🙂

Advertisements

11 thoughts on “Bukan Untuk Amar (Bab 28)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s